Endemik Covid-19 semakin hampir

in Analisis Sinar by

PERKEMBANGAN pandemik Covid-19 di negara ini setakat Sabtu serba sedikit memberi sinar harapan demi membawa negara ke fasa endemik.

Ini apabila Malaysia bakal menerima ubat-ubatan antiviral untuk diberikan kepada pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi mulai bulan ini.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan bahawa bekalan ubat berkenaan dijangka tiba dalam tempoh dua minggu lagi.

Perkembangan itu mampu memberi kelegaan meskipun jumlah kes harian Covid-19 di negara ini mencatatkan kes tertinggi yang direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas iaitu 33,209 kes pada Jumaat.

Khairy berkata, sejumlah 110,000 ubat telah dibeli melalui perolehan pertama dan bekalan akan ditambah sekiranya terbukti berkesan.

“Kalau kita dapati penggunaan ubat ini berkesan sepertimana maklumat yang diterima, kita akan tambah lagi pembelian ubat tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Dialisis kali ke-16 pada Sabtu.

Khairy juga dilapor berkata terdapat dua lagi bekalan ubat yang bakal dibeli untuk merawat pesakit Covid-19 namun masih belum dimuktamadkan.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan tidak terdapat keperluan suntikan vaksin Covid-19 bagi dos ke empat setakat ini.

Ia memberi gambaran jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini dalam keadaan yang terkawal dengan adanya dua vaksin premier dan satu dos penggalak.

“Jika ada dos keempat, ia akan dikhususkan kepada golongan rentan termasuk penyakit kanser atau yang perlu dilindungi,” katanya.