Poket semakin berat, beg pula jadi ringan

in Analisis Sinar by

KINI sudah masuk minggu kedua cuti sekolah dan sepanjang tempoh tiga minggu cuti penggal kali ini pastinya menjadi waktu yang ditunggu-tunggu oleh bukan sahaja pelajar-pelajar, malahan ibu bapa juga.

Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang cuti sekolah. Ada yang pulang ke kampung untuk menjenguk ahli keluarga, ada yang mengambil peluang pergi melancong bagi menenangkan fikiran dan merehatkan badan namun tidak kurang juga ada yang duduk di rumah sahaja kerana bimbangkan jumlah kes positif harian Covid-19 yang mencecah lima angka sejak kebelakangan ini.

Terkini dilaporkan 26,856 kes positif baharu pada Isnin dengan mencatatkan 77 kematian.Bagi penulis pula ketika masih belajar dulu, cuti sekolah amat dinantikan kerana pada waktu inilah penulis dapat melakukan aktiviti menarik termasuk pulang ke kampung berjumpa datuk dan opah serta menemui saudara sebaya yang duduk berjauhan. Bila sudah berjumpa, maka banyak aktiviti dilakukan bersama.

Sebenarnya ketibaan cuti sekolah ini bagi segelintir pelajar merupakan peluang yang tidak akan disia-siakan untuk mencari duit poket tambahan dengan melakukan kerja-kerja sampingan.

Ada yang membantu keluarga di kebun, ada yang mencari barang-barang kitar semula untuk dijual malah ada yang mencari kerja sementara di kedai-kedai.

Peluang ini digunakan sebaiknya oleh mereka sebelum memulakan sesi baru persekolahan pada 21 Mac nanti.

Pada Isnin, akhbar ini ada menyiarkan kisah seorang remaja berusia 15 tahun di Tanah Merah, Kelantan yang berkongsi kisah dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 setiap kali turun mengutip biji kelapa sawit relai di ladang milik neneknya.

Nur Areeyana Nabila Abdul Wahab memberitahu, sudah menjadi tradisi keluarganya untuk belajar mengutip biji relai dan dia merupakan generasi ketiga peneroka di kawasan Felda Kemahang 3 yang menggunakan sepenuhnya musim cuti sekolah.

Dalam pada itu, dua beradik di Felda Pasoh 4, Negeri Sembilan juga mengisi waktu cuti sekolah dengan mengambil upah mengutip buah sawit relai di ladang seluas empat hektar milik datuk mereka sejak empat tahun lalu. Norsyadinie, 15, dan Nor Syafi Nor Azman, 13, akan ke ladang bersama bapa saudara seawal jam 8 pagi dan pulang menjelang tengah hari. Mereka melakukan aktiviti itu secara sukarela dan dibayar upah RM50 seorang oleh datuk mereka.

Sebenarnya banyak lagi kisah pelajar yang melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan ketika cuti sekolah.

Cerita ini sebenarnya membuktikan anak-anak yang masih muda ini juga sudah pandai untuk mencari pendapatan sampingan ketika cuti.

Solusi beg berat

Sementara itu, pada Ahad lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan tujuh langkah untuk mengatasi masalah beg berat yang dihadapi murid-murid khususnya kepada murid Tahun Satu.

Penyediaan lokar dan penyusunan semula jadual waktu merupakan antara langkah diambil kerajaan selain mengehadkan bilangan buku latihan, buku kerja dan buku aktiviti turut diambil bagi mengatasi masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penyediaan kemudahan itu membabitkan sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Bagi penulis, usaha yang dilakukan KPM ini sebenarnya amat baik dalam membantu pelajar yang sebelum ini dibelenggu masalah beg berat ke sekolah setiap hari sehingga ada yang mendakwa mengalami masalah kesihatan yang serius.

Nampaknya cuti sekolah kali ini ada dua berita gembira untuk pelajar sebelum menyambung kembali sesi persekolahan iaitu poket mereka menjadi semakin ‘berat’ kerana menerima upah selepas melakukan kerja sambilan dan kedua beg sekolah mereka pula akan menjadi ‘ringan’ dengan keputusan diambil KPM untuk membantu pelajar-pelajar ini.

Namun dalam keseronokan menerima berita gembira ini jangan pula kita lupa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jangkitan Covid-19. Janganlah kita alpa kerana kita masih belum menang.

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah penyunting Sinar Harian