Penerimaan terhadap PN di Johor positif

in Analisis Semasa by

SHAH ALAM – Penerimaan terhadap calon Perikatan Nasional di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan perkembangan positif walaupun belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Ia diakui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas beliau melakukan tinjauan beberapa hari lalu termasuk semasa pelancaran ikrar PN.

Menurutnya, untuk PN menang adalah tidak mudah tetapi tidak juga mustahil untuk parti itu menakluk PRN Johor.

Malah, beliau juga memberikan contoh prestasi PRN Sabah yang mana PN mendapat kejayaan manakala BN merosot. Di PRN Melaka pula, BN menang kerana peratusan keluar mengundi rendah serta undi kepada PH sudah pun merosot.

Undi diperoleh PN menunjukkan peningkatan tetapi parti itu tidak menang di Melaka kerana pengundi muda tidak keluar mengundi dan undi protes.

Beliau menegaskan jika PN berjaya berusaha untuk meningkatkan jumlah pengundi yang keluar, maka parti itu tidak mustahil untuk memperoleh kemenangan.

Abdul Hadi juga menjelaskan ikrar PN mampu untuk menarik pengundi mengundi calon PN selain rakyat dapat menilai apabila Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU 14) lalu ditolak kerana kegagalan, salah laku rasuah dan pelbagai hal lain.

Manakala Abdul Hadi mendakwa, Pakatan Harapan (PH) ditolak kerana gagal menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14 kerana manifesto mereka amat tinggi melangit dan tidak berpijak di bumi nyata.

Sebaliknya PN banyak melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan rakyat walaupun tempohnya pendek.

Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my