Ringgit dijangka lemah minggu depan

in Bisnes by

KONFLIK Rusia-Ukraine yang sedang berlangsung telah meningkat permintaan untuk aset selamat seperti dolar Amerika Syarikat (AS), manakala aset berisiko seperti ringgit dijangka melemah dalam nilainya.

Menurut Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, indeks dolar AS terus melonjak kepada 98.712 mata, naik 0.21 peratus pada hari Jumaat dan akibatnya, penukaran dolar AS-ringgit kekal lemah pada RM4.1940 selepas selera risiko terbantut.

“Minggu depan, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan dipantau rapat oleh pasaran. Kami akan melihat sama ada Rizab Persekutuan akan meningkatkan kadar sebanyak 25 mata asas seperti yang mereka janjikan.

“Kami menjangkakan pihak rizab akan menunaikan janji mereka, memandangkan Indeks Harga Pengguna Februari AS terus kekal mantap pada 7.9 peratus. Jadi kemungkinan bagi kadar dasar yang lebih tinggi masih tetap dalam agenda mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata ringgit sepatutnya kekal dalam RM4.19 hingga RM4.20 pada minggu depan memandangkan kebiasaannya, para pelabur lebih suka bertahan lama dalam mata wang selamat.

Secara mingguan, ringgit berada pada 4.1940/1975 berbanding dolar AS daripada 4.1760/1795 yang direkodkan minggu sebelum ini.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Berbanding yen Jepun, ia naik kepada 3.5858/5891 daripada 3.6178/6211, ringgit juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.4828/4874 daripada 5.5558/5604, tetapi hampir kekal tidak berubah berbanding euro pada 4.5991/6030 daripada 4.5994/6033.

Ia, bagaimanapun, menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0802/0832 daripada 3.0715/0745. – Bernama