Pengundi sudah lesu atau protes?

in Lidah Pengarang by

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencatatkan jumlah pengundi yang amat kecil berbanding pilihan raya lain.

Ada banyak faktor menyebabkan jumlah peratusan itu rendah, antaranya ialah kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Faktor kedua ialah pengundi yang tinggal di luar Johor tidak pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara faktor ketiga ialah pengundi merasakan pilihan raya itu sebenarnya tidak perlu dilakukan.

Sejak PRU14 hingga kini, sudah terdapat 14 pilihan raya dilakukan atas pelbagai faktor. Begitu banyak wang dan tenaga telah digunakan untuk melaksanakan pilihan raya raya tersebut.

Ini menunjukkan bahawa negara berada dalam keadaan politik yang amat tidak stabil yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara sejak peristiwa 13 Mei 1969.

Namun mujur rakyat Malaysia sudah matang dalam politik dan negara tidak terjerumus ke dalam konflik yang lebih parah.

Bagaimanapun, kemelut politik Malaysia telah menyebabkan rakyat semakin meluat dengan pertelingkahan ahli-ahli politik yang tiada berpenghujung.

Rakyat juga sudah muak dan bosan disajikan dengan drama ahli-ahli politik negara.

Justeru, peratusan pengundi yang rendah dalam beberapa pilihan raya telah menunjukkan protes rakyat terhadap situasi politik semasa.

Bagi pengundi di perantauan, mereka bukan sahaja perlu berkorban masa malah wang ringgit demi memuaskan hati pemain-pemain politik untuk mencapai maksud dan tujuan mereka.

Ada yang bertanya adakah ini baik untuk sistem demokrasi di Malaysia? Jawapan bagi persoalan ini amat mudah.

Keadaan ini amat menguntungkan parti yang memiliki pelbagai kelebihan dan akan terus mentadbir negara dengan selesa. Ia bagus untuk kestabilan politik dan ekonomi negara.

Namun, dari satu sudut proses semak dan imbang akan menjadi longgar dan kemahuan rakyat yang mahu perubahan dalam negara tidak tercapai.

Justeru, kita memberikan keyakinan kerajaan yang telah dipilih itu mempunyai kesungguhan amat tinggi untuk melakukan pembaharuan dan pemulihan di peringkat negeri dan negara.