PRU15: Jangan terburu-buru

in Analisis Sinar by

SHAH ALAM – Desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin lantang kedengaran selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.

Malah, segelintir penyokong BN turut melaungkan ‘bubar Parlimen’ ketika Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir di ibu pejabat UMNO Johor selepas BN menang dalam PRN tersebut.

Bagaimanapun, Ismail Sabri ketika sidang akhbar sempena majlis perasmian Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera pada Ahad menegaskan PRU15 hanya akan diadakan setelah BN bersedia sepenuhnya.

Menurutnya, setiap keputusan akan dibincangkan secara serius dalam parti dan bukan kerana hanya desakan kumpulan kecil yang mahu pilihan raya diadakan.

Ia kerana PRU15 merupakan perkara besar dan banyak perkara perlu dilihat serta melibatkan pelbagai prosedur seperti menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat dan diperkenankan.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut menasihatkan supaya keadaan kesihatan awam perlu stabil sebelum PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, walaupun negara sedang dalam fasa peralihan endemik, semua pihak perlu terus berhati-hati apatah lagi virus Covid-19 masih terus agresif menyerang.

Khairy turut menegaskan PRU adalah aktiviti melibatkan orang ramai dan mengundang kepada risiko jangkitan Covid-19.

Dalam masa sama, beberapa pakar penganalisis politik berpandangan PRU15 sesuai untuk diadakan pada bulan Julai.

Menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain menjelaskan, ia selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dengan pihak pembangkang yang bakal tamat pada bulan itu.