Sepakatlah dalam patuhi SOP misi menyelamat mangsa bencana

in Pojok by

MERAK Jalanan ada terlihat video tular mengenai seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertegang leher dengan seorang pegawai polis ketika operasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis lalu.

Oleh kerana video tersebut tidak menggambarkan keadaan keseluruhan yang sebenar, maka pelbagai spekulasi akan timbul dan akhirnya memberi gambaran tidak baik kepada pasukan keselamatan.

Maka, Merak Jalanan setuju dengan tindakan pihak polis membuka kertas siasatan terhadap penularan video itu dan menyiasatnya di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak, selain pegawai APM itu, pemilik laman Facebook tersebut turut disiasat berikutan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

Hasil siasatan kelak akan dapat memaklumkan kepada umum situasi sebenar dan tidak menimbulkan prasangka kepada mana-mana pihak.

Sepanjang pengetahuan Merak Jalanan, pasukan keselamatan kita sudah terlibat dengan banyak misi menyelamat di lapangan melibatkan pelbagai tragedi.

Daripada tragedi lepas, kita sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dan ia telah diguna pakai sejak sekian lama.

Misalnya, dalam setiap misi menyelamat pasti ada seorang ketua daripada sesuatu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi tersebut.

Justeru, agensi lain yang turut serta perlu mematuhi setiap arahan daripada ketua berkenaan kerana tanpa penyelarasan kerja, sesuatu operasi akan menjadi sukar.

Pada masa yang sama, mereka perlu mengetepikan sebarang perbezaan kerana terdapat fokus yang lebih besar perlu diutamakan iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia.