KWSP: Tiada menang atau kalah

in Analisis Sinar by

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebook sebelum ini terus berkempen supaya kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off.

Menurut beliau, masa paling tepat adalah selepas pembayaran dividen dan sebelum Ramadan.

Malah, Najib juga berharap kerajaan mempertimbangkan empat langkah memulihkan semula baki simpanan KWSP yang rendah bagi golongan terjejas akibat Covid-19.

Empat langkah itu merangkumi pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000, penstrukturan semula kadar dividen KWSP serta kadar caruman majikan dinaikkan semula dan memulihkan kembali projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Beliau turut menyarankan kerajaan menganugerahkan projek Bandar Malaysia kepada KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), selain menyerahkan beberapa projek kerajaan kepada syarikat milik agensi itu.

‘Perjuangan’ Ahli Parlimen Pekan itu ternyata mendapat sokongan rakyat yang jelas dapat dilihat menerusi respons dan komen-komen di Facebook.

Hantaran beliau bertarikh 13 Mac lalu mendapat lebih 24,000 tanda suka, dibanjiri kira-kira 2,500 komen dan dikongsi 695 pengguna Facebook.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa pengeluaran dana KWSP dibenarkan dengan segera setelah menyifatkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terdesak. Menurutnya, langkah itu perlu dilaksanakan meskipun sebelum ini beliau berpendirian sebaliknya.

Syukur Alhamdulillah, suara rakyat akhirnya didengari Putrajaya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Menurut Ismail Sabri, kebenaran itu diberikan selepas kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak. Ia merupakan keputusan sukar yang terpaksa dibuat kerajaan memandangkan KWSP melibatkan simpanan hari tua rakyat.

Bukan soal rakyat menang atau kerajaan tunduk tetapi perkembangan itu ternyata amat menggembirakan golongan yang benar-benar terdesak dan dihimpit kesusahan. Walaupun ada suara-suara menuduh KWSP dijadikan modal orang politik mengumpan sokongan, namun secara peribadi penulis tidak berasakan begitu.

Di saat kritikal ini, KWSP menjadi harapan dan sandaran untuk rakyat ‘bernafas’ setelah kehidupan mereka terjejas akibat pandemik serta bencana alam yang melanda baru-baru ini.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia itu, KWSP ditubuhkan pada tahun 1951 dengan visi membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik.

Susulan penularan Covid-19 sejak tahun 2020, KWSP terpaksa membenarkan tiga pengeluaran khas dalam usaha membantu rakyat mengharungi saat sukar.

Tiga pengeluaran khas KWSP itu ialah i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang telah memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.

Kementerian Kewangan bagaimanapun sebelum ini memberi bayangan bahawa tiada lagi pengeluaran khas dana KWSP akan dibenarkan. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga skim sebelum ini merupakan pengeluaran prapersaraan yang hanya diperkenalkan sebagai langkah sementara.

Namun ternyata keprihatinan terhadap rakyat mengatasi segalanya. Sekurang-kurangnya pengeluaran dana khas itu dapat mengelak rakyat yang kesempitan daripada meminjam wang daripada ah long atau pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Kerajaan pasti tidak mahu rakyat yang terdesak terus merana. Kebajikan dan hak merekalah yang lebih utama.

Terima kasih kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan diharap wang yang dikeluarkan nanti dimanfaatkan oleh pencarum dengan sebaik-baiknya.

* Khalid Adenan ialah Kurator Media Sosial Sinar Harian