Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada awal dagangan

in Bisnes by

RINGGIT meningkat dalam dagangan awal pada Rabu berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) mencatatkan sedikit penurunan.

Pada jam 9.06 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1995/2040 berbanding dolar AS daripada 4.2050/2085 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang negara maju mungkin berdepan beberapa pembetulan selepas mengalami peningkatan mendadak.

Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.11 peratus kepada 98.988 mata.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit untuk kekal dalam jajaran kecil berikutan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Indeks Harga Pengeluar terkini bagi AS yang meningkat 10 peratus pada Februari berbanding 9.7 peratus, dilihat mengukuhkan semula pandangan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar penanda aras mereka dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada minggu ini.

“Sementara itu, harga minyak mentah Brent bergerak di bawah AS$100 setong berikutan harapan terhadap rundingan nuklear dengan Iran akan menyebabkan bekalan minyak yang lebih banyak. Bagaimanapun, ketidakpastian ekonomi adalah semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.5475/5516 daripada 3.5642/5674 semalam dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4761/4820 daripada 5.4833/4879.

Ia turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0739/0776 daripada 3.0774/0802 sebelum ini dan bertambah berbanding euro kepada 4.6035/6084 daripada 4.6263/6302. – Bernama