Covid-19: 27,004 kes baharu, 29,450 sembuh

in Koronavirus by

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 27,004 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,927,437.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 26,258 kes tempatan dan 719 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak sebanyak 11,163 kes atau 41.34 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 15,642 kes atau 57.92 peratus adalah pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 63 kes (0.23 peratus), kategori empat dengan 72 kes (0.27 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 64 kes (0.24 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 199 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 51 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“82 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak 66 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 95 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 105 kes lagi mempunyai komorbid dan tiada melibatkan kes ibu mengandung,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 340.

“Sebanyak 373 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 152 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 221,” katanya.

Jelas beliau, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 225 kes dilaporkan dengan 97 kes disahkan Covid-19 dan 128 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 29,450 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,596,463 kes setakat ini.

Dalam masa sama, lapan negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Perlis mendahului sebanyak 73 peratus, Kuala Lumpur (70 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (60 peratus), Selangor (56 peratus), Sarawak (52 peratus) dan Perak (51 peratus).