Covid-19: Britain luluskan rawatan berasaskan terapi antibodi

in Koronavirus by

LONDON – Agensi pengawal selia ubat-ubatan Britain meluluskan rawatan Covid-19 berasaskan terapi antibodi keluaran AstraZeneca bagi individu dewasa dengan tindak balas imun lemah.

Ini merupakan usaha terbaharu dalam memerangi pandemik Covid-19 pada ketika peningkatan kes global secara drastik.

Menurut Agensi Kawal Selia Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA), keputusan untuk meluluskan rawatan tersebut disahkan oleh badan penasihat saintifik bebas kerajaan selepas menyemak bukti.

MHRA turut memaklumkan suntikan antibodi jenama Evusheld didapati mampu mengurangkan risiko mendapat gejala Covid-19 berdasarkan 77 peratus dalam kajian.

Malah dengan satu dos, ia mampu bertahan sehingga enam bulan.

Sebelum ini ia sudah diluluskan di Amerika Syarikat terhadap mereka yang mempunyai sistem imun lemah atau mempunyai sejarah mengalami kesan sampingan teruk akibat vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, rawatan yang menggunakan kaedah suntikan intra-otot tidak boleh diberikan kepada orang yang dijangkiti Covid-19 atau individu yang terdedah kepada seseorang yang dijangkiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memaklumkan angka ketika ini menunjukkan peningkatan kes Covid-19 secara global dan ia boleh menandakan permasalahan yang lebih besar.

Beberapa negara digesa untuk kekal waspada terutamanya negara yang menunjukkan kadar penurunan ujian saringan. – Awani