Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS

in Bisnes by

RINGGIT dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun antara 4.19 dan 4.21 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan kerana perang yang berlanjutan di Ukraine berpotensi memberi kesan kepada sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bagaimanapun, kenaikan ringgit juga mungkin boleh berlaku memandangkan harga minyak mentah Brent kekal pada paras tinggi melebihi AS$100 setong.

Beliau berkata, menerusi petunjuk dan panduan yang jelas daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai kenaikan kadar faedah, nampaknya pasaran telah menjadi lebih pasti dan meyakinkan bahawa pemulihan ekonomi telah berjalan dengan baik.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada Rabu memutuskan untuk menaikkan kadar dana Fed sebanyak 25 mata asas menjadikan kadar faedah penanda aras kepada 0.50 peratus.

“Bagaimanapun, risiko itu berkemungkinan rendah tetapi berimpak tinggi seperti perang di Ukraine berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah berkuat kuasa secara rasmi untuk Malaysia pada hari Jumaat, membuka jalan kepada negara untuk menyepadukan ke dalam perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang melibatkan 15 negara dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion.

Mohd Afzanizam berkata, ia boleh memberi pengisian kepada pasaran tempatan kerana pakatan perdagangan akan membolehkan akses yang lebih baik kepada pasaran baharu.

“Pada masa yang sama, ia membolehkan perniagaan kita mempelbagaikan sumber mereka untuk bahan mentah, mengurangkan risiko penumpuan berlebihan di satu negara tertentu.

“Ia juga boleh memberi insentif kepada penggiat tempatan untuk meningkatkan kemahiran dan kapasiti produktif mereka untuk bersaing dengan negara anggota RCEP,” katanya.

Berasaskan mingguan, ringgit naik berbanding dolar AS kepada 4.1930/1975 daripada 4.1940/1975 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain bagi asas Jumaat hingga Jumaat.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.5259/5300 daripada 3.5858/5891 dan merosot berbanding pound Britian kepada 5.5100/5159 daripada 5.4828/4874.

Ringgit susut berbanding dolar euro kepada 4.6370/6420 daripada 4.5991/6030 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0924/0960 daripada 3.0802/0832 sebelum ini. – Bernama