Rusia guna senjata hipersonik

in Global by

MOSCOW – Rusia mendakwa ia menggunakan misil hipersonik terbaharu ketika membedil depot senjata di barat Ukraine pada Jumaat.

“Sistem peluru berpandu penerbangan Kinzhal dengan misil aerobalistik hipersonik berjaya memusnahkan gudang besar bawah tanah di perkampungan Deliatyn di wilayah Ivano-Frankivsk,” ujar Kementerian Pertahanan Moscow pada Sabtu.

Sementara itu, agensi berita RIA Novosti melaporkan senjata hipersonik Kinzhal tersebut adalah pertama kali digunakan dalam ‘operasi khas’ yang berlarutan lebih tiga minggu di Kiev.

Perkembangan terbaharu itu yang dikhuatiri akan memburukkan lagi krisis di Ukraine berlaku ketika kempen serangan diperhebatkan di bandar barat Lviv dan Kramatorsk.

Selain itu, imej satelit juga menunjukkan tentera Rusia membina ‘kubu’ untuk melindungi peralatan ketenteraan mereka di barat laut Kiev setelah rancangan Moscow mahu menawan ibu kota tersebut yang dikepung sejak dua minggu lalu masih gagal susulan serangan balas dilancarkan tentera Ukraine yang bertindak menyekat dua laluan utama ke bandar berkenaan.

Ketika desakan untuk mengadakan dialog semakin meningkat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi menggesa Kremlin untuk duduk berbincang bagi meredakan konflik tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk berunding bagi memulihkan integriti wilayah dan menuntut keadilan. Jika Moscow masih berdegil, mereka akan berdepan kerugian besar dan mungkin akan mengambil masa beberapa generasi untuk pulih,” tegasnya.

Zelenskyy turut mendakwa tentera Rusia sengaja menghalang penghantaran bekalan kemanusiaan ke beberapa bandar yang menjadi sasaran kempen pengeboman ganas.

“Ia adalah taktik yang disengajakan. Tindakan ini adalah satu bentuk jenayah perang,” katanya lagi dengan nada kesal.

Beliau juga memaklumkan kira-kira 130 orang awam berjaya diselamatkan dari sebuah teater di Mariupol yang menjadi tempat perlindungan sementara selepas bandar itu terus dibedil sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ratusan lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan struktur itu yang musnah akibat bedilan tersebut. – Agensi

Info:

>Presiden Rusia, Vladimir Putin pernah menggelar misil Kinzhal sebagai ‘senjata ideal’ yang mempunyai keupayaan untuk terbang 10 kali ganda pada kelajuan bunyi dan berupaya mengelakkan sistem pertahanan udara.

>Misil tersebut adalah salah satu daripada pelbagai senjata baharu yang didedahkan Putin pada 2018.

>Wilayah Ivano-Frankivsk berkongsi sempadan sepanjang 50 kilometer dengan Romania yang merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).