Surah Al-Sajdah jadi amalan Rasulullah SAW sebelum tidur

in WacanaQuran by

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Surah al-Sajdah adalah surah yang besar kedudukannya di sisi Rasulullah SAW.

Jurulatih utama Tadabbur Centre Sdn Bhd, Syaari Ab Rahman berkata, Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan surah ini tanpa membacanya sebelum tidur.

“Surah al-Sajdah ini bukan setakat merebah kepala ke tanah, tetapi merasai dalam hati kita betapa sempurnanya rencana Tuhan dan betapa lemahnya kita di atas muka bumi ini.

“Pernah berlaku peristiwa tentang ahli-ahli sihir firaun yang kufur kepada ALLAH, namun selepas melihat tongkat Nabi Musa AS menjadi ular gergasi, mereka terkejut kerana tidak pernah melihat situasi luar biasa itu selama ini.

“Melihatkan perkara itu mereka telah melakukan apa yang disebut sebagai al-Sajdah. Mereka sujud dengan air mata kerana kagum dengan apa yang terjadi yang tidak dapat ditafsirkan dengan akal fikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mentadabbur surah al-Sajdah ayat 1 hingga 30 dalam program ‘Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) Edisi Khas: Dari Penjara Menggapai Syurga’ sempena Hari Penjara ke-232 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada Jumaat.

Program yang diadakan Masjid Jabatan Penjara Malaysia itu turut siarkan secara langsung di platform Zoom dan Facebook Live Sinar Harian, QuranHour, TickTalk TV dan Jabatan Penjara Malaysia.

Acara dimulakan dengan bacaan surah al-Sajdah yang dibimbing oleh qari Pembantu guru agama Penjara Kajang, Sarjan Muhammad Hafis Mohamad Foizi, dan Ustaz Husaini Mahmur, Qari My #HadithTime.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, setiap penghuni penjara beragama Islam perlu dibentuk kembali ke jalan agama.

“Ini termasuk membentuk sahsiah mereka dengan terapi keagamaan, kerohanian kerana Jabatan Penjara ada guru-guru agama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pembantu guru agama untuk membantu.

Katanya, dalam pemulihan pesalah memerlukan sokongan daripada keluarga mereka sendiri, agensi kerajaan di luar jabatan penjara, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta kolaborasi dengan majikan bagi membolehkan banduan mendapat pekerjaan selepas dibebaskan.

“Apabila kita libatkan komuniti dalam sistem pemulihan, ianya lebih berkesan dan pengulangan jenayah yang berlaku agak kecil berbanding mereka yang tidak berpeluang menjalani pemulihan dalam komuniti,” ujarnya.