Covid-19: 22,341 kes baharu, 33,347 sembuh

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 22,341 kes baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,974,019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 21,817 kes tempatan dan 524 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,181 kes atau 45.57 peratus daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 12,007 kes atau 53.75 peratus adalah pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 58 kes (0.26 peratus), kategori empat dengan 45 kes (0.20 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 50 kes (0.22 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 153 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 48 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“61 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak 44 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 96 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 71 kes lagi mempunyai komorbid dan tiada melibatkan kes ibu mengandung.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak enam kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 316.

“Sebanyak 390 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 160 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 230,” katanya.

Jelas beliau, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 219 kes dilaporkan dengan 94 kes disahkan Covid-19 dan 125 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 33,347 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,656,415 kes setakat ini.

Dalam masa sama, sembilan negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendahului sebanyak 67 peratus, Perlis (64 peratus), Kelantan (63 peratus), Johor (59 peratus), Selangor (58 peratus), Sarawak (53 peratus) dan Perak dan Pulau Pinang (51 peratus).