DAP tamatkan MoU jika kerajaan tidak lulus RUU anti lompat parti

in Politik by

SHAH ALAM – Memorandum persefahaman (MoU) Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan akan ditamatkan jika rang undang-undang (RUU) anti lompat parti tidak diluluskan.

Pemimpin DAP, Lim Guan Eng berkata, RUU itu sepatutnya diluluskan pada Mac seperti mana yang dijanjikan menerusi MoU berkenaan.

“Kalau kita lihat aturan urusan mesyuarat parlimen esok (Isnin) ada cadangan mesyuarat untuk bentangkan pindaan perlembagaan. (Jadi) kita akan tahu esok.

“Tapi, sekiranya tidak ada pindaan perlembagaan untuk luluskan akta anti lompat parti seperti yang dijanjikan dalam MoU, MoU ini tidak bermakna lagi dan akan dimansuhkan sama sekali,”katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di sini pada Ahad.

Media melaporkan PH mahu RUU anti lompat parti dilaksanakan seperti dimeterai dalam MoU.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan menyatakan, menerusi MoU tersebut, RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen iaitu sebelum atau pada 24 Mac ini.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, PH harus menjalankan kerja komunikasi lebih baik untuk mendapat balik sokongan rakyat.

“Kita tidak harus menyalahkan pihak lain tapi harus lihat diri sendiri macam mana kita boleh betulkan kelemahan yang sedia ada khususnya peratusan undi keluar yang rendah,”katanya.