Dr Kelvin Yii ketuai DAPYS, Young Syefura timbalan

in Politik by

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) yang baharu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen akan memastikan sayap DAP itu terus menjadi penggerak dan pemikir yang membawa kepada solusi kreatif serta inovatif untuk isu-isu dihadapi anak muda dan seluruh rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu kini menerajui kepimpinan DAPSY selepas menang dalam pemilihan yang berlangsung pada Sabtu manakala timbalan ketua dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Dr Kelvin turut yakin bahawa anak muda mampu untuk melakar masa hadapan lebih baik berdasarkan potensi dan kebolehan yang ada.

Beliau juga berjanji akan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sepenuh hati bersama pasukannya terutama untuk menyatupadukan serta memperkasakan DAPSY di seluruh dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya dalam DAPSY kerana memberikan semangat dan kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ketua DAPSY untuk penggal ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Eric Teh Hoong Keat.

“Kami semua mempunyai idealisme bersama untuk melihat DAPSY dikuatkan dan anak muda kita diperkasakan,” katanya dalam satu hantaran di Twitter miliknya pada Ahad.

Menurut Young Syefura, diharapkan DAPSY akan terus maju dan mencapai aspirasi yang telah beliau dan Kelvin rancang bersama.

“Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Ilahi atas kemenangan saya bersama Kelvin dalam pemilihan DAPSY Kebangsaan hari ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah hadir dan mengundi pada hari ini.

“Terima kasih kerana telah memberikan kepercayaan ini kepada saya dan saudara Kelvin untuk meneraju DAPSY Kebangsaan. Mari kita semua bersatu dan bekerjasama demi DAPSY dan parti DAP,” ciapnya di Twitter.

Kelvin menang setelah menerima 232 undi menewaskan dua pencabar yang lain, Jamaliah Jamaluddin dan Eric Teh Hoong Keat.

Young Syefura pula meraih 212 undi menewaskan dua pencabar yang lain iaitu Abdul Aziz Isa Marindo dan Alice Lan Suet Ling.

Sementara itu, empat kerusi Naib Ketua DAPSY Kebangsaan diraih oleh G Annun Nancy, K Jason Raj, P S Keristinah dan Teh Swee Leong.

Wayne Ong Chun Wei pula menang pemilihan bagi jawatan Setiausaha DAPSY Kebangsaan.

Kesemua mereka bakal memegang pentadbiran DAPSY Kebangsaan bagi tahun 2021 hingga 2024.