Tour Gateh D’Tranung: TSG laung amaran buru gelaran juara

in Sukan by

SEBANYAK 156 pelumba daripada 26 pasukan bakal beraksi dalam Kejohanan Berbasikal Tour Gateh D’Tranung yang bermula Isnin.

Ia termasuk 17 pasukan bertaraf profesional dan sembilan pasukan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan mewakili negeri masing-masing pada kejohanan itu.

Antara pasukan profesional bertaraf benua yang menyertai kejohanan tersebut ialah Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling dan Singapore Cycling Federation yang dijangka bakal memberi cabaran sengit kepada pelumba-pelumba lain.

Kapten TSG, Mohd Harrif Salleh berkata, pasukannya meletakkan sasaran untuk meraih gelaran juara keseluruhan (jersi kuning) dan podium pada setiap peringkat perlumbaan kejohanan yang dihidupkan kembali selepas kali terakhir penganjuran pada 2011.

“Namun begitu kami juga menjangkakan tekanan kerana sebagai pasukan berstatus nombor satu Asia, sudah pasti tumpuan akan terarah pada TSG.

Untuk sasaran peribadi, saya akan berusaha mendapatkan jersi hijau (juara pecut) yang merupakan bidang atau kepakaran saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Memperkenal Penaja dan Peserta Tour Gateh D’Tranung di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Ahad.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. – Bernama