Guardiola lega City mara ke separuh akhir Piala FA

in Sukan by

BIARPUN menerima tentangan sengit, pengendali Manchester City, Pep Guardiola lega apabila skuad kendaliannya itu berjaya menewaskan Southampton 4-1 di St Mary pada Isnin, bagi mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA.

Guardiola mengakui City berdepan cabaran sukar daripada skuad kendalian Ralph Hasenhüttl itu terutamanya di sepanjang separuh masa pertama sebelum meledak tiga gol pada separuh masa kedua bagi mengesahkan kemenangan.

“Secara keseluruhannya, ia bukanlah satu kemenangan yang boleh disifatkan selesa buat kami dan tirai kita kini bakal memasuki musim rehat antarabangsa.

“Kami juga sedar ketika masih berbaki dua bulan sebelum saingan musim ini melabuhkan tirai, kami akan terlibat dalam tiga perebutan trofi. Kami kini di separuh akhir Piala FA, suku akhir Liga Juara-Juara dan berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Oleh itu, kami menetapkan bahawa kami perlu menganggap setiap perlawanan yang diharungi sebagai aksi final selain memastikan kami tidak boleh tewas dalam mana-mana perlawanan perebutan trofi berkenaan,” katanya.

Aksi suku akhir berkenaan menyaksikan City membuka jaringan menerusi Raheem Sterling pada minit ke-12, namun pemain pertahanan Aymeric Laporte tertampan bola ke gawang sendiri bagi memberikan The Saints gol penyamaan pada penghujung babak pertama.

Babak kedua menyaksikan City tampil lebih garang dan meledak tiga gol menerusi Kevin De Bruyne yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 sebelum dua pemain gantian, Phil Foden dan Riyad Mahrez masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-75 dan min-78, bagi mengesahkan kemenangan.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Guardiola berkata, kesebelasan Southampton telah memberikan tentangan yang cukup sengit pada aksi suku akhir berkenaan dan menyebabkan benteng pertahanan City terpaksa bekerja keras.

“Mereka telah memberikan tekanan hebat kepada kita di sepanjang separuh masa pertama dengan tahap intensiti yang tinggi.

“Namun, pemain City berjaya menangani tekanan berkenaan dan seterusnya membolosi gawang lawan pada separuh masa kedua bagi memastikan kemenangan,” katanya.