Kapten pangkat pertama Rusia maut di Mariupol

in Global by

MOSCOW – Seorang Timbalan Komander Armada Laut Hitam Rusia terbunuh dalam pertempuran di bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine, kata seorang Gabenor Sevastopol, Mikhail Razvozhayev di Crimea iaitu wilayah yang berada di bawah penguasaan Moscow pada Ahad.

“Kapten Peringkat Pertama, Andrei Nikolayevich Paly terbunuh dalam pertempuran untuk membebaskan Mariupol dari Nazi Ukraine,” kata Razvozhayev menerusi aplikasi Telegram.

Sevastopol adalah sebuah bandar pelabuhan di Crimea yang berada di bawah penguasaan Moscow sejak tahun 2014.

Crimea juga merupakan pangkalan Armada Laut Hitam Rusia.

Kata Razvozhayev, Paly merupakan seorang lelaki yang sopan dan mempunyai kewibawaan besar dalam armada itu.

Yekaterina Altabaeva iaitu seorang ahli Parlimen Sevastopol juga mengesahkan kematian Paly.

Altabaeva berkata, Paly telah terbunuh dalam pertempuran untuk pembebasan Mariupol dari Nazi di Ukraine.

Namun, tidak ada pengesahan segera dari Kementerian Pertahanan Rusia berhubung kematiannya. – AFP