KKM, SPR bincang protokol bolehkan pesakit Covid-19 mengundi

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai protokol paling selamat bagi membolehkan pesakit yang positif Covid-19 mengundi dalam pilihan raya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Covid-19 akan kekal selama-lamanya dan hak untuk mengundi tidak boleh dinafikan.

“Saya dah cakap dengan pegawai saya bahawa Covid-19 akan berada bersama kita.

“Kalau kita nafikan hak mereka untuk mengundi, kita menafikan hak untuk berperlembagaan. Jadi kita sedang memikirkan apa cara selamat bagi membolehkan mereka mengundi dan di mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) dan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) pada Isnin.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi Dewan Kampung Melayu Majidee, walaupun masih dalam tempoh kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, protokol bagi membolehkan pesakit positif Covid-19 ini mengundi akan melibatkan lebih masa.

“Ada yang kata beri mereka (pesakit positif Covid-19) untuk undi pos. Tetapi katalah dia dijangkiti Covid-19 sehari atau dua hari sebelum macam mana nak undi pos?

“Kalau dia nak pergi pun siapa yang akan bawa mereka? saluran mana? sdakah kita akan adakan saluran khusus pesakit positif Covid-19,” jelasnya.

Khairy menegaskan, pihaknya bukan mahu menunda mengenai perkara terbabit tetapi apa yang utama adalah keselamatan orang awam.

“Yang paling penting bukan soal kehendak politik tetapi lebih kepada keselamatan orang awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Khairy menyatakan perlu mencari masa yang sesuai atau tempoh risiko yang paling rendah.

“Kita kena cari masa yang paling sesuai atau tempoh yang boleh dikatakan berisiko paling rendah untuk kita adakan pilihan raya.

“Sebab kita tahu pilihan raya ini melibatkan proses yang ramai orang keluar, kempen dan mengundi,” jelasnya.