Perak FC terima LOI hari ini

in Sukan by

PENGURUSAN Perak FC mengesahkan akan menerima secara rasmi surat tunjuk minat (LOI) daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih pentadbiran kelab berkenaan pada Isnin.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya telah mengetahui mengenai butiran surat berkenaan yang secara keseluruhannya menjurus kepada pengambilalihan kelab itu.

“Kita dah berbincang dengan pihak yang berkenaan, cuma surat itu kami akan dapat esok (Isnin). Apa yang boleh saya katakan ketika ini, memang ada pihak yang berminat mengambil alih Perak FC.

“Kami akan kongsikan perkara ini dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Insya-ALLAH kalau segala urusan pengambilalihan ini dipersetujui MFL, kita akan cuba selesaikannya dalam tempoh tujuh hari.

“Lagi pun kami pun perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa pihak berhubung perkara ini. Kami tidak boleh tergesa-gesa dalam membuat keputusan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada 19 Mac lalu, Sukan Sinar melaporkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd yang juga sebagai pemilik Perak FC masih menunggu LOI daripada pihak yang berminat mengambil alih kelab itu.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus mengesahkan Perak FC telah menerima bantuan kewangan daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pihak pengurusan melibatkan Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood dan Ahli Lembaga Pengarah kelab berkenaan telah menemui sendiri Tunku Ismail berhubung perkara berkenaan.

“Betul memang kami ada berjumpa dengan Tunku Ismail dan kami ucapkan terima kasih kepada baginda. Insya-ALLAH, bantuan itu akan kami gunakan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain,” katanya.

Mengenai jersi rasmi skuad The Bos Gaurus yang akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Muhammad Yunus berkata, berlaku sedikit kelewatan urusan dengan pihak penaja jersi, Lotto.

“Macam yang kita kata dulu, untuk empat hingga lima perlawanan pertama musim ini, pasukan akan gunakan jersi pramusim. Bila masuk second half of the season, baru gunakan jersi sebenar,” jelasnya.