Piala Dunia Remaja: 20 pemain terbaik perkuat skuad hoki wanita

in Sukan by

SERAMAI 20 pemain dipilih bagi menggalas cabaran Malaysia pada Piala Dunia Remaja Wanita 2021 di Potchefstroom, Afrika Selatan mulai 1 hingga 12 April depan.

Senarai nama kesemua pemain berkenaan diumumkan Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim sejurus tamat Liga Hoki Kebangsaan (MHL) 2022 pada Ahad.

Nasihin Nubli berkata, pemilihan 20 pemain berkenaan agak sukar dilakukan kerana ketika ini terlalu ramai bakat baharu yang dikenal pasti di sepanjang saingan TNB MHL 2022 berlangsung.

Beliau berkata, pemain sedia ada daripada skuad projek khas kendaliannya turut mempamerkan peningkatan khususnya dari segi keyakinan.

“Secara keseluruhannya, MHL 2022 adalah pentas bagi tujuan pemilihan pemain skuad Piala Dunia Remaja Wanita yang dijadualkan berlangsung di Afrika Selatan pada awal April ini.

“Oleh itu, barisan kejurulatihan Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan telah membuat penilaian daripada pelbagai sudut bagi melengkapkan senarai 20 pemain yang mantap ke kejohanan berkenaan.

“Beberapa pemain yang bukan daripada Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan turut diperhatikan sekali bermulanya TNB MHL 2022 dan pemain tersebut dilihat mencapai tahap kualiti yang baik untuk dipilih ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita 2021,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Untuk rekod, skuad KPT-Uniten Thunderbolts muncul juara bagi TNB MHL 2022 (Wanita) setelah menewaskan NS Girls 2-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nasihin Nubli berkata, kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada tahap kualiti teknikal dan skil yang dimiliki pemain-pemain berkenaan.

Katanya, kriteria berkenaan ditetapkan dalam usaha memudahkan lagi pemain-pemain berkenaan menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo perminan pantas terutamanya di peringkat tertinggi.

“Selain itu, kita juga melihat daripada segi kemahiran membuat keputusan ketika beraksi di padang yang juga sebenarnya merupakan satu kelebihan yang diambil kira selain usaha yang ditunjukkan ketika beraksi.

“Kita juga melihat kelebihan pemain-pemain berkenaan untuk beraksi di posisi-posisi yang spesifik agar tidak wujud banyak perbezaan antara pemain utama dengan pemain pengganti (simpanan),” katanya.

Bagi mengulas mengenai persiapan pasukan ke Piala Dunia Remaja 2021, Nasihin Nubli berkata, setakat ini beberapa sesi latihan telah diadakan semasa hari rehat Kejohanan TNB MHL 2022 lalu.

Menurutnya, sesi latihan berkenaan dibuat bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang dikesan pada pasukan terutamanya daripada skil teknikal, struktur serta taktikal pasukan secara keseluruhannya.

“Selain itu, persiapan kita juga akan melibatkan beberapa siri latihan hoki serta beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) / Selangor Lelaki Bawah 17 tahun (B-17) sebelum berlepas ke Potchefstroom, Afrika Selatan.

“Penyertaan bersejarah julung kali pasukan Remaja Hoki Wanita Malaysia untuk bermain Piala Dunia Remaja Wanita akan digunakan sebaik mungkin bagi mendedahkan mereka dengan tahap hoki yang lebih tinggi,” katanya.