SPR perlu wujudkan bank data alamat lengkap pengundi

in Nasional by

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dilengkapi sistem alamat lengkap untuk semua warganegara Malaysia bagi menentukan kedudukan sebenar pengundi.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, dengan wujudnya sistem berkenaan ia dapat memudahkan pencarian data pemilih SPR.

“Masalah ketiadaan alamat, selain pengundi bertukar alamat menjadi punca peratusan keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ di Hotel Majestic di sini pada Isnin.

Buku berkenaan hasil tulisan beliau bersama penganalisis politik, Dr G Manimaran.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku berkenaan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas menyelesaikan masalah ketiadaan alamat ini.

“Sistem alamat seumpama itu dilaksanakan di United Kingdom (UK) dipanggil GeoPlace. Jika kerajaan ada sistem ini ia juga boleh menjadi ‘bank data’ urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Ab Rashid menjelaskan, orang di bandar mungkin ada alamat tepat, tetapi di kampung, terdapat mereka yang tidak mempunyai alamat tepat dan sukar dicari.

“Ini menyukarkan termasuk kepada parti politik untuk mendekati pengundi dan penempatan Daftar Pemilih menjadi tidak teratur.

“Ini adalah penyelesaian jangka panjang bagi menentukan setiap orang mempunyai alamat tepat dan masalah berkaitan alamat dapat ditangani,” ujarnya.

Mengulas mengenai buku yang diterbitkan, Ab Rashid berkata, ia meliputi 15 bab tentang sejarah ringkas pilihan raya, penerangan sistem peraturan dan undang-undang semasa serta infografik mengenai pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Buku ini sesuai digunakan untuk mendidik dan mendedahkan masyarakat kepada pengetahuan sivik terutama aspek kewarganegaraan ke arah masyarakat celik ilmu mengenai hak serta pilihan raya demokrasi,” katanya.