UMNO Selangor yakin rakyat kembali undi BN

in Politik by

SHAH ALAM – UMNO Selangor yakin rakyat negeri itu akan kembali mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, trend tersebut boleh dilihat setelah parti berkenaan berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri terutama di Johor dan Melaka.

“Semua parti diberi peluang menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) pernah jadi Perdana Menteri, Bersatu pun sama.

“Kini giliran BN, jadi rakyat boleh menilai dan kita lihat daripada keputusan PRN, nampaknya rakyat kembali kepada BN kerana kita tahu bahawa pada 2014 ada janji manis oleh PH tidak dapat dilaksanakan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di Shah Alam Convention Center (SACC), di sini pada Isnin.

Dalam pada itu Noh berkata, pihaknya sedia menampilkan calon daripada golongan muda mewakili parti tersebut sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Ujarnya, penampilan mereka relevan mengikut peredaran zaman dan diperlukan sebagai pelapis kepada generasi veteran.

“Tanpa yang lama, tiadalah yang muda. Generasi muda pun kita perlu kerana zaman sudah berubah, jadi kita mesti ada kesinambungan dan pelapis.

“Selangor pun sama, kita akan lihat dan akan tunjuk juga pimpinan muda,” katanya.