ABIM junjung titah Sultan Perak laksana pendidikan demokrasi

in Edisi by

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahukan anak muda dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menjunjung tinggi titah baginda yang menekankan kepentingan literasi itu untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

Justeru, katanya, ABIM mahu membimbing dan membina watak generasi masa hadapan dengan teras jati diri bersama nilai-nilai moral yang tinggi.

“Dalam proses ini, ABIM menekankan kesetiaan kepada nilai dan maruah yang akan memimpin kita membina satu kefahaman serta identiti warga yang menolak amalan rasuah serta gejala perkauman sempit.

“Nilai ini adalah akar kepada keperibadian bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal turut memberitahu bahawa pihaknya akan terus melakukan libat urus bersama semua pemegang taruh dalam kalangan ahli politik muda dan warga belia, untuk membawa wacana politik segar yang menolak rasuah serta berorientasi khidmat kepada rakyat.

“Untuk meratakan pendidikan demokrasi dalam kalangan generasi muda, ABIM juga mengusulkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi SPR untuk bersama badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak muda untuk menggerakkan inisiatif ini,” jelasnya.