Kedah teroka sumber air bawah tanah atasi gangguan bekalan air

in Edisi by

ALOR SETAR – Kedah akan meneroka sumber air bawah tanah sebagai alternatif bagi menangani isu gangguan bekalan air di negeri ini kerana ia berpotensi tinggi untuk dibangunkan.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air & Sumber Air, Tenaga, Datuk Suraya Yaacob berkata, kos membangunkan sumber air bawah tanah juga jauh lebih rendah berbanding sumber air di permukaan.

Menurutnya, setakat ini, penggunaan sumber air bawah tanah di negeri ini masih rendah, iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah keseluruhan sumber bekalan air di negeri ini.

“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) turut syorkan sumber air bawah tanah digunakan sebagai sumber bekalan air di kawasan terpencil, kawasan bermasalah seperti di pedalaman, tiada bekalan air terawat, sering alami gangguan bekalan air, penempatan baharu serta kawasan kebakaran gambut.

“Selain bekalan air semasa kecemasan, sumber air bawah tanah juga berpotensi untuk tujuan pertanian, akuakultur dan industri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) dan Mohamad Yusoff Zakaria (Pas-Kuala Nerang) berkaitan status dan alternatif telaga tiub bagi mengatasi masalah bekalan air, di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Suraya berkata, penggunaan sumber air bawah tanah adalah langkah awal bagi mengatasi masalah bekalan air dan sesuai dibangunkan pada skala kecil mahupun besar.

“JMG mempunyai tiga projek pembangunan dalam membangunkan sumber air bawah tanah, iaitu projek pembangunan penilaian rizab air tanah negara (RAT), pembangunan sumber air tanah di kawasan bermasalah bekalan air bersih serta projek penggunaan air bawah tanah sebagai sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) yang berdepan kekurangan sumber air,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek mengatasi isu bekalan air di negeri ini, JMG telah melaksanakan pembinaan telaga tiub pada 2020 di Kampung Kota Siputeh (Jerlün), Kampung Ulu Legong (Baling), Maahad Dini Sik, LRA Merbok, LRA Tupah dan LRA Gurun.

“Sebanyak 21 telaga telah dibina di bawah Projek Bekalan Air Bersih dari tahun 2011-2020, manakala sembilan telaga bawah Projek Rizab Air Tanah dari tahun 2017-2020,” katanya.

Suraya memberitahu, bagi perancangan jangka panjang, JMG sedang menjalankan projek pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah negara 2021-2025, meliputi seluruh negeri ini termasuk Pulau Langkawi.

Dalam pada itu, Suraya memaklumkan, kawasan yang menerima bantuan bekalan air melalui Iori tangki dianggarkan sebanyak 3,800 akaun berbanding keseluruhan 630,569 akaun di negeri ini.

“Kawasan hot spot disebabkan oleh musim kering adalah di Merbok, Tanjung Dawai, Semeling, Singkir dan sekitarnya serta Gurun, di mana berlakunya penyusutan sumber air mentah ketara dan menjejaskan pengoperasian LRA (Headworks) Merbok, Gurun dan Tupah,” katanya.