Kelab Motor Arissa aktif bantu masyarakat

in Edisi by

TEMERLOH – Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan cukup sinonim buat sekumpulan wanita dari Kelab Motor Arissa dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sejak tiga tahun lalu khususnya di Temerloh.

Pengerusi kelab, Ratnawati Bahari berkata, kewujudan kelab itu bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang dan usia bergabung dalam satu platform tanpa bercampur dengan lain jantina bagi menggerakkan satu-satu aktiviti.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 42 ahli yang aktif berusia antara 25 hingga 60 tahun menyertai kelab tersebut dan menyertai pelbagai aktiviti kebajikan.

“Kelab ini aktif dalam aktiviti kebajikan dan ketika pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami turut turun padang membantu mengagihkan sumbangan kepada golongan terjejas.

“Selain itu, kelab ini juga aktif menyantuni warga emas, masyarakat Orang Asli, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan golongan kurang berkemampuan termasuk aktiviti gotong-royong seperti membersihkan masjid dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ratnawati berkata, idea untuk mewujudkan kelab yang hanya melibatkan golongan itu selepas sukar meneruskan minatnya menunggang motosikal ekoran tiada kelab khusus buat wanita di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk menyertai kelab ini setiap ahli diwajibkan memiliki lesen kenderaan sebagai langkah keselamatan selain memiliki motosikal.

“Selain aktiviti kebajikan, kami turut aktif dalam aktiviti sosial bersama masyarakat apabila sering kali dijemput untuk mengiringi pengantin dalam satu-satu majlis perkahwinan.

“Malah setiap kali Ramadan, kami dan ahli juga turut menganjurkan aktiviti membuat bubur lambuk yang diagihkan kepada orang ramai,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyertai kelab itu boleh menghubungi talian 011-11004830 atau melayari laman Facebook, Arissa Motor Club untuk sebarang maklumat lanjut.