KPKT kaji keperluan gubal akta khusus pembaharuan semula bandar

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji keperluan menggubal pindaan satu akta khusus bagi mengawal selia pelaksanaan pembaharuan semula bandar.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) bagi menangani isu bangunan usang khususnya melibatkan skim strata.

Menurutnya, pindaan akta di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu melibatkan persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula bangunan.

“Ciri-ciri kawasan yang memerlukan pembaharuan semula ialah kawasan atau bangunan usang yang terbiar dan menimbulkan imej atau identiti bandar kurang menarik.

“Selain itu, ia turut melibatkan kawasan yang mengalami kemerosotan kualiti persekitaran, peningkatan pencemaran, kadar jenayah dan sosial serta kediaman yang sesak dan substandard selain tidak sesuai dengan keadaan semasa.

“Justeru, KPKT berpendapat memang ada keperluan menjalankan kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kesesuaian penggubalan satu akta khusus berkenaan pembaharuan semula bandar,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai strategi KPKT memperkenalkan program dan perundangan berhubung pembangunan semula bandar bagi mengatasi isu flat usang di bandar.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, keperluan perundangan khusus adalah berdasarkan beberapa kes pembangunan semula yang berdepan kesukaran apabila membabitkan pengambilan tanah.

“Ini terbukti apabila terdapat kes-kes yang boleh dijadikan ‘reference’ iaitu pembangunan semula di Kerinchi dan Razak Mansion.

“Kerinchi mengambil masa yang agak panjang kerana pemilikan strata dipecah milik kepada individu, berbeza dengan proses di Razak Mansion yang lebih mudah kerana tanah di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berstatus pajakan.

“Penggubalan akta membabitkan pembaharuan semula bandar berkait tujuh atau lapan akta lain, seperti Kanun Tanah Negara, Akta 318, Akta Pengurusan Strata 2013, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, merangkumi fungsi kementerian yang agak rentas,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai langkah KPKT menangani isu 3,519 perumahan lama yang usang, Reezal Merican berkata, pihaknya akan menggunakan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk menguruskan perumahan berkenaan.

“Memang benar terdapat sekitar 3,519 skim perumahan yang tiada badan pengurusan bersama serta jawatankuasa pengurusan dan keadaan kediaman strata tersebut dalam keadaan amat usang.

“Saya bangkitkan di KPKT dan Kementerian Kewangan bahawa ada keperluan untuk menambah peruntukan TPPM bagi memungkinkan flat seperti ini dibantu kerajaan secara ‘intervention’,” ujarnya.