PAC pandang serius pembaziran, kerugian RM64.1 juta

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandang serius Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 yang melaporkan kes pemborosan, pembaziran, kehilangan atau kerugian wang awam berjumlah RM64.1 juta.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa melaporkan 682 isu pengauditan, lima daripadanya berpotensi dikenakan tindakan punitif dan baki 677 isu lagi membabitkan isu korektif.

Katanya, LKAN antaranya melaporkan satu kes pemborosan berjumlah RM2.81 juta membabitkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian Pengangkutan.

“LKAN turut melaporkan satu kes pembaziran berjumlah RM16.77 juta membabitkan Pengurusan Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu membabitkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Kes kehilangan atau kerugian wang awam berjumlah RM44.53 juta membabitkan Aktiviti Kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM),” katanya ketika sidang akbar di bangunan Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut Kah Woh berkata, PAC turut memandang serius LKAN mengenai empat projek yang tidak mencapai objektif ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan mendedahkan terdapat isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang gagal memulangkan wang caruman kerajaan berjumlah RM695.06 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) selain pembayaran dividen tidak teratur.

“PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu yang dibangkitkan dan memulakan prosiding selepas mendapat persetujuan sebulat suara anggota PAC.

“PAC akan memilih dan membuat keputusan untuk memulakan prosiding, dengan pemilihan subjek tertakluk kepada keputusan sebulat suara ahli PAC terhadap isu yang akan disiasat,” katanya.

Berhubung perkembangan terkini siasatan PAC dalam isu pembangunan projek uCustoms serta pembelian kapal peronda Littoral Combatant Ship (LCS) bernilai RM9 bilion, Kah Woh memaklumkan prosiding bagi kedua-dua isu berkenaan sudah selesai.

“PAC sudah memanggil semua saksi yang diperlukan dan prosiding telah selesai. Kami akan memulakan mesyuarat untuk penyediaan laporan akhir PAC bagi kedua-dua subjek berkenaan,” katanya.