Projek mega Taman Ilmu di Besut tidak diteruskan

in Edisi by

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri tidak berhasrat meneruskan projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut yang terbelengkalai lebih 10 tahun lalu kerana proses baik pulih menelan kos yang tinggi selain masih berdepan kes mahkamah.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, proses membaik pulih projek berkenaan dianggarkan menelan kos RM400 juta berbanding RM300 juta bagi kos pembinaan peringkat permulaan projek tersebut.

“Buat masa ini kita masih menunggu kes mahkamah selesai dahulu dimana kita masih ada dua lagi kes mahkamah pada 22 Mac dan 4 April ini melibatkan saman yang dikemukan kontraktor kepada POSC TI Sdn Bhd.

“Disebabkan syarikat itu telah gulung tikar, mereka telah kemukakan saman kepada kerajaan negeri. Memandangkan terlalu banyak isu, kita rasa sukar untuk kita lakukan pembangunan semula di situ,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.

Menurut Satiful, ketika ini hanya dua blok bangunan asrama Taman Ilmu yang boleh digunakan dan diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Kerajaan negeri juga akan menukarkan tapak bangunan kolej universiti milik kerajaan negeri yang sepatutnya dibina di Taman Ilmu.

“Disebabkan kos baik pulih yang terlalu tinggi iaitu RM400 juta berbanding RM350 juta bagi kos pembinaan kolej universiti, lebih baik kita bina di kawasan baharu,” katanya.

Menurut Satiful, kolej universiti yang akan ditempatkan di Durian Mentagau, Dungun itu kini dalam proses dan kerja pembinaan dijangka dimulakan tahun ini.

Projek mega Taman Ilmu yang melibatkan kawasan seluas 280 hektar merupakan projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER).

Projek berkenaan disifatkan sebagai ‘projek sakit’ selepas terbelengkalai sejak 2004.

Pembinaannya pada peringkat permulaan diilhamkan ketika era pentadbiran mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dirangka bagi menempatkan enam buah institusi pengajian tinggi (IPT).