Sambut baik cadangan Kedah jadi negeri ‘bougainvillea’

in Edisi by

ALOR SETAR – Kedah menyambut baik cadangan menjadikan negeri itu sebagai ‘negeri bunga kertas (Bougainvillea)’ dalam usaha meningkatkan keindahan dan menarik kemasukan lebih pelancong.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyifatkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul supaya kerajaan negeri menjadikan Kedah sebagai negeri bunga kertas amat menarik.

Mohd Firdaus berkata, pokok bunga kertas terbabit mungkin boleh ditanam di lokasi dan laluan tertentu dalam pelbagai warna.

“Mungkin kawasan Alor Setar ini, boleh tanam pokok bunga warna kuning. Apabila hendak masuk ke kawasan lain, pokok terbabit ditanam warna merah ataupun hijau.Jadi, akan nampak warna warni negeri Kedah.

“Saya rasa ia merupakan satu cadangan yang baik kerana pokok bunga kertas memerlukan kos rendah, mudah diuruskan dan penyelenggaraannya rendah,” katanya ketika ucapan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Selasa.

Beliau berkata, inisiatif menanam pokok bunga kertas juga boleh mengelakkan pihak berkaitan melakukan pembaziran.

“Daripada kita tanam pokok bunga yang hari ini tanam namun esok mati dan memerlukan kos tinggi, kita boleh cuba menanam pokok bunga kertas ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak perlancongan diminta berbincang dengan bahagian kewangan dan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan tentang cadangan tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Kedah sememangnya memiliki banyak prasaran dan lokasi menarik untuk dikunjungi pelancong, bagaimanapun ada kekurangan dari sudut promosi.

“Disebabkan itu, Kedah Tourism ditubuhkan dan kita mengharapkan ia dapat menjalankan promosi lebih agresif. InsyaAllah, saya telah berbincang dengan bahagian kewangan untuk melihat keperluan untuk menambah peruntukan untuk tujuan promosi ini, ” katanya.

Tambah Mohd Firdaus, model ‘Sabah Tourism Board’ yang digunakan badan perlancongan terbabit untuk menguruskan sektor perlancongan boleh dicontohi Kedah.

“Aset-aset perlancongan di negeri Sabah diletakkan di bawah ‘Sabah Tourism Board’ dan badan berkenaan juga mengutip hasil-hasil pelancongan seperti Gunung Kinabalu.

“Tiket-tiket dikutip oleh Sabah Tourism Board dan penyelenggaran turut diuruskan badan perlancongan terbabit,” katanya.

Beliau berpendapatan, model diperkenalkan di Sabah berkenaan diyakini mampu melonjakkan hasil pendapatan dalam sektor perlancongan di Kedah.