Tabiat pentingkan diri punca rasuah

in Khas by

SHAH ALAM – Gejala salah laku rasuah berpunca daripada sikap individu yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesan dan akibat daripada tindakannya.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pemikiran sebegitu boleh memberi impak kepada prestasi kerja serta kepada orang disekeliling terutamanya jika seseorang itu memegang jawatan penting dalam organisasi.

“Di peringkat yang lebih mudah iaitu di tempat kerja, kadang-kadang benda yang ringkas sebagai contohnya tolong ‘punch card’ kehadiran untuk orang lain.

“Benda itu kalau kita lihat, mungkin orang persoalkan apa kaitannya dengan rasuah tetapi sebenarnya rasuah itu berpunca daripada tabiat yang tidak kisah pasal orang lain dan hanya mementingkan diri.

“Jadi bila orang seperti itu ada di tempat yang berkuasa, yang mana dia mempunyai peluang yang lebih besar dan manfaat lebih banyak, maka berlakulah rasuah dengan lebih besar. Itulah faktor pendorong,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Hakim berkata, orang ramai perlu diberi kesedaran mengenai kehidupan akhirat serta azab jika terlibat dengan aktiviti rasuah.

Menurutnya, mengingatkan umat tentang hari akhirat merupakan cara Rasulullah SAW dalam membentuk generasi terbaik pada ketika itu.

Jelasnya, apabila masyarakat gerun dan takut kepada ALLAH SWT dan azab neraka, maka mereka tidak akan cenderung melakukan perbuatan rasuah.

“Jadi kalau kita dapat memperkuatkan usaha untuk menampakkan perkara-perkara ghaib dan inilah cara Rasulullah membentuk generasi terbaik iaitu mengingatkan pada hari akhirat.

“Harapan saya kalau kita bawa ‘angle’ (perspektif) Sinar Rasuah Busters dalam memerangi rasuah ini kepada aspek memahami bahawa rasuah ini sama ada pelaku atau penerima, mereka akan menerima azab di neraka seterusnya menimbulkan ketakutan dalam realiti. Kerana itu benda yang dianjurkan dalam agama,” ujarnya.