Tiada peruntukan kerajaan, Pernas tidak dapat laksana peranan penuh

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Ketiadaan peruntukan kewangan yang diterima daripada kerajaan menyebabkan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) tidak dapat melaksanakan sepenuhnya peranannya untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, Pernas menggunakan dana syarikat daripada aktiviti lain seperti pelaburan dan sewaan hartanah dalam menyediakan kemudahan pembiayaan francais kepada orang awam yang disasarkan.

Laporan itu mengesyorkan Pernas untuk memantapkan mekanisme pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan pelaksanaan program sedia ada agar ia dapat terus menyalurkan dana kerajaan bagi menjayakan Program Pembangunan Francais.

Selain itu, Pernas juga disaran memastikan proses berkaitan permohonan dan kelulusan pembiayaan mengikut tatacara dan tempoh masa yang ditetapkan.

“Sebanyak 20 peratus atau 15 daripada 75 akaun permohonan yang diluluskan sebelum dan pada Mac 2020 telah diproses melebihi tempoh tujuh hari bekerja. Tempoh kelewatan adalah antara empat hingga 76 hari.

“Manakala, 37 akaun yang diluluskan selepas Mac 2020 pula tidak dapat ditentukan tempoh pemprosesan kerana data tarikh pengesahan Single Customer Credit Limit (SCCL) dan tarikh surat tawaran tiada dalam Sistem Pengurusan Perniagaan Pernas (S3P),” kata laporan itu.

Menurut LKAN, 29.5 peratus atau 33 akaun hanya dikunci masuk dalam sistem selepas kelulusan diperoleh, yang mana tempoh diambil untuk mengunci masuk dalam sistem adalah antara tiga hingga 290 hari.

Bagi pengurusan kutipan bayaran balik pembiayaan, baki pembiayaan tidak berbayar (NPF) adalah berjumlah RM26.72 juta melibatkan 388 akaun.

Manakala, sebanyak 640 akaun berjumlah RM122.50 juta telah dihapus kira bagi tempoh tahun 2013 hingga September 2021.

Selain itu, tiada tindakan peringatan dan notis dikeluarkan terhadap 109 akaun peminjam yang berstatus hapus kira berjumlah RM35.17 juta sebelum akaun diklasifikasikan sebagai NPF.

Ekoran itu, Pernas disarankan untuk mengambil langkah proaktif dan berkesan untuk mengutip balik tunggakan akaun pembiayaan yang berstatus NPF bagi mengurangkan jumlah baki tertunggak.

Namun, berdasarkan analisis kewangan yang dijalankan, LKAN berkata, secara keseluruhannya kedudukan kewangan Pernas adalah stabil dengan jumlah aset melebihi liabiliti pada tahun semasa serta aliran tunai yang meningkat dalam tempoh berkenaan.

Bagi tempoh 2018 hingga 2020, pendapatan yang dijana daripada operasi syarikat adalah berjumlah RM222.42 juta daripada keseluruhan pendapatan iaitu RM281.78 juta.

Operasi syarikat terdiri daripada aktiviti utama iaitu pembiayaan francais dan aktiviti lain iaitu pelaburan ekuiti, pelaburan dalam pasaran wang, pelaburan hartanah dan pelaburan syarikat subsidiari. – Bernama