Pertahan maruah isteri, Will Smith bukti suami sejati

in Analisis Sinar by

INSIDEN aktor tersohor Hollywood, Will Smith menampar selebriti Chris Rock di pentas Majlis Oscar 2022 menjadi antara perbualan terhangat di seluruh dunia ketika ini.

‘Drama’ yang berlaku di pentas anugerah berprestij pada Isnin itu bermula apabila Rock secara spontan bergurau mengenai imej isteri Smith, Jada Pinkett-Smith yang kini muncul dengan imej botak.

Gurauan yang tidak kena tempat itu akhirnya memakan diri Rock, malah lebih memalukan kejadian yang berlaku di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat turut ditonton secara langsung.

Tindakan ‘tiada kompromi’ oleh Smith meskipun mungkin ada yang menganggap ia sekadar gurauan itu jelas membuktikan beliau adalah suami yang sejati serta sentiasa mempertahankan isteri tercinta.

Ini kerana umum mengetahui, Jada yang kini muncul dengan imej berkepala botak tampil sedemikian bukan ‘berfesyen’ tetapi disebabkan masalah kesihatan.

Justeru, ramai menganggap tindakan yang dilakukan oleh Smith itu wajar, walaupun mungkin ada sesetengahnya berpandangan perkara tersebut mungkin boleh dirunding di belakang tabir bagi menjaga imej majlis anugerah berprestij dunia itu.

Malah, tidak keterlaluan untuk dikatakan Smith mungkin layak diangkat sebagai ‘hero’ dan menjadi suami idaman para isteri ketika ini kerana sanggup melakukan apa sahaja bagi menjaga perasaan suri hatinya itu.

Sungguh pun begitu, Smith ketika berucap selepas diumumkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Oscar 2022 tampil mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

“Saya mahu minta maaf kepada Academy, saya mahu minta maaf kepada semua rakan finalis (Oscar 2022).

“Ini merupakan momen yang indah dan saya menangis bukan kerana kemenangan ini (Pelakon Lelaki Terbaik),” ujarnya.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak ditujukan secara langsung kepada Rock

Pengajaran daripada insiden terhangat ini seharusnya membuka mata semua pihak agar lebih berhati-hati dalam bergurau apatah lagi apabila ia membabitkan maruah seseorang.

Gurauan itu mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang tetapi bagi setengah pihak lain pula ia mungkin perkara yang tidak boleh diterima.

Jadi, hati-hatilah dalam bergurau kalau tidak mahu menerima nasib seperti Rock. Bukan sahaja sakit yang dapat tapi malu seluruh dunia pun mendapat!