Ramadan bulan amalan, bukan bulan makanan

in Pojok by

AHAD ini, seluruh umat Islam bakal menyambut bulan penuh kemuliaan, Ramadan al-Mubarak.

Dengan sambutan kali ini berbeza berbanding dua tahun sebelum ini, tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan.

Tidak ada lagi penjarakan sosial dan saf di masjid serta surau sudah boleh dirapatkan.

Tiada ada lagi SOP tertentu dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap operasi di bazar-bazar Ramadan.

Bila sebut bazar Ramadan, Merak Jalanan juga sama seperti orang lain.

Sudah terbayang-bayang kepelbagaian makanan dan minuman yang dijual.

Memang rambang mata dibuatnya. Kalau boleh semuanya nak dibeli sebagai juadah berbuka.

Tapi pesan Merak Jalanan, berbelanjalah secara berhemah dan sederhana. Jangan belanja ikut kehendak nafsu, nanti membazir akhirnya.

Tahun lalu sahaja, sebanyak 17,000 tan metrik atau 44.5 peratus sisa makanan yang mampu ‘mengisi perut’ tiga juta rakyat di negara ini dilupuskan sehari di seluruh negara, sekali gus menggambarkan betapa seriusnya isu pembaziran makanan khususnya setiap kali bulan Ramadan.

Begitulah banyaknya pembaziran, sedangkan Islam amat menuntut kita supaya sentiasa bersederhana.

Ketika ekonomi masih belum stabil, eloklah kita lebih jimat berbelanja. Tak perlulah boros memborong pelbagai jenis juadah di bazar Ramadan.

Cukuplah membeli ikut keperluan diri kita dan seisi keluarga. Cubalah susun atur menu idaman kita ikut hari-harinya.

Kita berpuasa selama 30 hari. Kalau tak dapat makan martabak hari ini tak mengapalah, boleh beli lagi esok atau lusa.

Jangan risau, tiada lagi sejarah dalam negara kita mati sebab tak makan tetapi ramai yang mati kerana terlebih makan. Jadi ingat-ingatlah!