Sekali air bah, sekali pantai berubah

in Analisis Sinar by

MINGGU lalu, rakyat negeri Perak dikejutkan dengan isu penjualan tanah tapak lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa di Seri Iskandar.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu program di Parit yang menjelaskan transaksi penjualan dibuat pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Ironinya, perkara itu mula-mula dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong daripada DAP, Nga Kor Ming yang mendedahkan tanah tersebut dijual tanpa melalui Exco kerajaan negeri namun perkara itu tidak pun disentuh dalam ucapan penggulungan Saarani pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

Rentetan itu, bekas Exco yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi pantas menjawab bahawa penjualan tanah tersebut adalah di luar pengetahuan anggota exco zaman PH memandangkan ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco.

Namun, sehingga kini tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab menjual tanah berkenaan.

Perak sememangnya amat memerlukan lapangan terbang baharu memandangkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh tidak boleh lagi dinaik taraf untuk dipanjangkan landasan bagi membenarkan pesawat lebih besar mendarat.

Pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Seri Iskandar itu merupakan janji manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan apabila Pakatan Harapan (PH) memperoleh mandat pada PRU14.

Tapak baharu

Tapak bagi membina lapangan terbang di Seri Iskandar itu telah pun disediakan oleh kerajaan BN ketika era Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadi Menteri Besar dan diletakkan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Namun, sekali air bah, sekali pantai berubah. Pentadbiran PH dilihat tidak berhasrat meneruskan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar itu apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menjadi Menteri Besar mengumumkan lokasi baharu di selatan Perak sama ada di daerah Batang Padang atau Muallim.

Tidak sangka pula di sebalik perancangan untuk menukar lokasi tapak lapangan terbang yang belum dikenal pasti itu, tanah cadangan asal di Seri Iskandar telah dijual kepada sebuah syarikat hartanah bagi tujuan pembangunan bercampur.

Maka kempunan lagilah rakyat Perak untuk mendapat lapangan terbang baharu bagi merancakkan ekonomi negeri apabila Saarani mengumumkan terpaksa mencari lokasi baharu yang lebih sesuai.

Sebenarnya, isu penjualan tanah projek pembangunan ekonomi di Perak bukanlah perkara baharu kerana pernah berlaku sebelum ini melibatkan tanah Bagan Datuk Water City (BDWC) seluas kira-kira 47 hektar di Bagan Datuk.

Tanah milik kerajaan negeri yang pada asalnya dimajukan dengan tanaman kelapa sawit oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan kemudian diambil alih PKNP untuk pembangunan BDWC di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Malangnya, tanah tersebut yang diuar-uarkan untuk projek BDWC sejak 2017 dipajak kepada sebuah syarikat untuk dijadikan kolam ternakan udang yang mengundang rasa tidak puas hati penduduk setempat.

Mana tidaknya, mereka sudah membayangkan beberapa kemudahan bakal dibina bagi sebuah daerah baharu seperti kompleks bangunan kerajaan dan ibu pejabat polis tetapi hanya projek kolam udang yang tidak pun mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan seperti dilaporkan pada 26 November 2020.

Persoalannya, sampai bilakah projek-projek mempunyai kepentingan rakyat perlu digadaikan kepada syarikat persendirian yang hanya memikirkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan alam sekitar mahupun manfaat kepada penduduk?

Siapa pun kerajaan yang memerintah, segala perancangan baik harus diteruskan walaupun legasi tersebut ditinggalkan oleh musuh politik kerana rakyat memilih pemimpin mereka pada pilihan raya bagi memastikan taraf hidup serta ekonomi menjadi lebih baik dan bukan untuk mengenyangkan kapitalis.

Pemimpin tidak bertanggungjawab menggadai kepentingan rakyat harus dibawa ke muka pengadilan, bukan sekadar saling menyalahkan dalam media.

* Saifullah Ahmad ialah wartawan Sinar Harian Perak