Tingkatkan rasa kemanusiaan semasa Ramadan

in Pojok by

BOLEH dikatakan sejak seminggu lalu khususnya Sabtu lepas orang ramai sibuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Ramadan walaupun harga barang dilaporkan naik melambung.

Orang ramai nampaknya mengambil peluang Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April lalu untuk keluar beramai-ramai tetapi masih mematuhi SOP.

Melihatkan jalan raya yang sibuk dengan kenderaan seawal jam 6 pagi, Merak Jalanan bersama keluarga menyahut seruan kerajaan dengan menaiki pengangkutan awam iaitu Bas Percuma yang disediakan pihak berkuasa tempatan.

Malangnya, masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mempunyai kesedaran sivik ketika menaiki pengangkutan awam.

Semasa ramai penumpang yang berdiri di dalam bas dan berpaut pada tali rel, timbul perasaan sedih dan geram melihatkan gelagat seorang pemuda berbadan sasa yang tidak mahu memberi ruang kepada seorang ibu dan dua anak perempuannya tempat duduk walaupun mereka berdiri betul-betul di depan lelaki itu.

Tanpa rasa malu dan bersalah, pemuda berkenaan buat-buat sibuk melihat telefon bimbit dan melayari internet.

Dengan keadaan jalan raya yang tidak rata, jelas kelihatan ibu yang agak berusia itu terhuyung-hayang apabila bas bergerak laju. Namun tiba-tiba muncul seorang wanita asing berpakaian Arab yang duduk di bahagian belakang bas mempelawa si ibu tadi mengambil tempat duduknya.

Persoalannya ke manakah hilangnya keprihatinan sesama kita dan kita patut berasa malu melihat wanita asing menghulurkan bantuan kepada ibu dan dua anaknya duduk di dalam bas.

Sewaktu bulan Ramadan ini, kita perlu gandakan sikap tolak ansur dan prihatin kepada orang lain yang sama-sama mahu membeli barangan keperluan.

Ini penting supaya penat pada bulan puasa ini terubat apabila kita semua menunjukkan sikap prihatin antara satu sama lain tanpa mengira di mana kita berada.

.