Isteri dapat RM500, isteri juga dapat RM10,000

in Pojok by

MERAK Jalanan sembang dengan kawan sebelah meja. Dia meluahkan rasa syukur bila isterinya yang bekerja sebagai guru mendapat durian runtuh, RM500 bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Gembira bukan main, katanya boleh buat tampung mana yang tidak cukup untuk pulang ke kampung halaman. Terus dipuji Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat pengumuman awal tanpa membuatkan mereka ternanti-nanti pada hujung bulan.

Penjawat awam gred 56 dan ke bawah menikmati durian runtuh melalui Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 dan pesara, RM250.

Apa yang Merak Jalanan baca bantuan tersebut turut dinikmati oleh kakitangan di bawah skim kontrak perkhidmatan, contract for service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Pembayaran tersebut akan dibuat pada 25 April ini bersekali dengan pembayaran gaji melibatkan kesemua jumlah peruntukan sebanyak RM923 juta.

Kata Ismail Sabri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut hari raya.

Cuma hairan dengan kawan Merak Jalanan itu, mengapa suka sangat dengan wang isteri? Bukankah dia baru saja mohon pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada 1 April lalu?

Duit itu dapat pada 20 April tetapi wang bantuan milik isteri yang digembirakannya.

“Abang, duit KWSP itu memang duit aku tapi siang-siang dia dah cakap duit RM10,000 itu bagi dia simpan terus dalam ASB. Dia takut aku beli set pancing harga beribu,” jujur katanya.

Ohh… patut la dia gembira semacam. Ada sebab rupanya. Bukan nak sapu duit bini, bukan juga takut bini, tapi isteri tegas dalam soal pengurusan kewangan.