Kekang penjualan dadah dalam talian

in Lidah Pengarang by

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini mendedahkan menerima tujuh aduan berkaitan penjualan dadah di laman internet sejak Januari tahun lalu hingga 28 Februari tahun ini.

Walaupun angka tersebut dilihat tidak tinggi berbanding tangkapan polis ke atas pengedar dadah luar talian tetapi keberanian mereka menggunakan platform dalam talian membimbangkan.

Hari ini platform media sosial digunakan secara meluas oleh semua peringkat usia sama ada anak-anak di bangku sekolah sehinggalah mereka yang berusia.

Kemudahan akses seumpama itu boleh mendedahkan anak-anak muda terutama remaja untuk mencuba sesuatu yang baharu dan boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah.

Bayangkan, walaupun anak-anak berada di rumah bersama ibu bapa tetapi mereka tetap boleh membuat urus niaga menerusi dalam talian.

Walaupun kegiatan penjualan dadah secara dalam talian atau luar talian, ia tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234].

Mengambil contoh kes penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang ditahan kerana menanam ganja di kediamannya, polis tidak menolak kemungkinan benih tumbuhan tersebut dibeli melalui platform dalam talian.

Justeru, kecekapan PDRM dalam menangkis cubaan penjualan dadah dalam talian diperlukan bagi memastikan tiada ruang untuk penjenayah terbabit.

Dengan pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada Januari lalu, ia memberi keyakinan tinggi kepada usaha membanteras najis dadah di Malaysia.

Umum mengetahui beliau mempunyai kesungguhan, ketegasan dan keberanian memerangi jenayah ketika menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman serta Ketua Polis Johor.

Terbaharu, beliau menyatakan tangkapan dan siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tanpa mengira tanpa mengira latar belakangnya.

Diharap agar jenayah dadah dapat dihapuskan dan tidak terus membarah, seterusnya merosakkan generasi masa depan di Malaysia.