Gejala sosial: Akhlak manusia makin rapuh

in Analisis Semasa by

RATA-RATA laporan media pada Jumaat berkisar tentang perbuatan di luar kotak fikiran manusia waras.

Perbicaraan kes penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan sindrom down dikenali Bella mendapat perhatian ekoran pengakuan seorang penghuni Rumah Bonda yang menggigit perut kanak-kanak malang itu selepas diarahkan pengasas rumah kebajikan tersebut, Siti Bainun Abd Razali.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat diberitahu demikian oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood selepas dirujuk sekeping gambar kesan gigitan dalam prosiding kes menganiaya dan mengabaikan Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Remaja berusia 18 tahun itu berkata, tindakan itu dilakukan kerana Bella enggan mengikut arahan Siti Bainun sekali gus menyebabkan wanita itu geram dan telah mengarahkannya ambil picagari berisi air panas, dan beri (pancut) pada Bella.

“Bella menggelupur, tapi dia tak rasa sakit menyebabkan Siti Bainun jadi marah kemudian dia arah saya gigit perut Bella,” katanya.

Sementara itu di Melaka, seorang lelaki dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Merlimau selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya ketika pecah masuk rumah mangsa pada Januari lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa berusia 26 tahun yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dan jenayah dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita itu kini malu untuk berhadapan dengan keluarga terutama suaminya.

Manakala di Klang, seorang wanita warga asing dan lelaki tempatan dipercayai sepasang kekasih ditahan kerana disyaki terlibat kes membuang bayi lelaki berusia empat bulan dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, polis menerima laporan pada jam 3.05 petang daripada seorang lelaki tempatan yang menemui bayi malang tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat pembuangan sampah di kondominium itu.

Melihat kepada gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat yang kian berada di tahap membimbangkan, memberi keresahan kepada pelbagai pihak kerana ia akan mendatangkan kesan negatif terhadap generasi mendatang.

Justeru satu langkah proaktif perlu dilakukan segera dengan semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk membendungnya bagi mengelak lebih banyak tindakan di luar kotak fikiran manusia waras berlaku di masa akan datang.