Hati-hati membeli puding buih

in Analisis Sinar by

SELEPAS seminggu berpuasa, sudah kedengaran kes keracunan makanan melibatkan bazar Ramadan. Dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat memakan puding buih yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Kuala Terengganu.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Kes berkenaan mengimbau kembali kejadian kira-kira dua tahun lalu apabila seorang wanita berusia 25 tahun meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada penghujung Ramadan.

Wanita dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.40 pagi pada 3 Jun 2020 selepas menerima rawatan selama 10 hari di unit rawatan rapi (ICU) disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Bukan wanita itu sahaja, malah seramai 98 mangsa turut dikejarkan ke hospital apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih itu.

Hasil ujian makmal mendapati penggunaan telur luput tarikh melebihi dua minggu menjadi punca utama kes berkenaan. Peniaga puding buih tersebut turut diambil tindakan.

Insiden tersebut mengejutkan kerana ia merupakan kes pertama membabitkan kematian akibat keracunan puding buih. Siapa sangka, juadah yang menggunakan telur sebagai bahan utama dengan pelbagai warna yang menarik boleh meragut nyawa.

Kes keracunan

Puding buih dihasilkan menggunakan telur mentah yang dipukul sehingga berbuih, kemudian dicampur dengan adunan agar-agar yang telah suam sebelum disejukkan di dalam peti sejuk.

Kebanyakan kes keracunan makanan melibatkan telur adalah berpunca daripada bakteria salmonella yang menyebabkan jangkitan pada pada sistem penghadaman manusia. Justeru, kaedah pengendalian makanan tidak betul dan tidak selamat ketika memasak puding buih boleh meningkatkan risiko sakit perut serta muntah selepas menikmati kuih berkenaan.

Itulah pentingnya kita menggunakan kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dijamah terutama masakan yang menggunakan telur sebagai antara ramuannya.

Secara jujur, penulis sendiri tidak berani membeli puding buih yang dijual kerana bimbang sejarah berulang. Walaupun masih ramai peniaga yang menjual pemanis mulut itu, penulis tetap buat-buat tidak nampak apabila berkunjung ke bazar Ramadan atau gerai tepi jalan. Lagipun, memasak sendiri di rumah lebih selamat, bukan?

Bercakap tentang pengendalian makanan yang betul, masih ramai peniaga bazar Ramadan tidak mementingkan faktor kebersihan dan kualiti makanan.

Di laman media sosial, bertebaran gambar sup kaki ayam yang masih mempunyai kuku, selain ayam golek mentah, kuih sudah basi, kerangka ayam goreng dihangatkan semula, roti john hangit dan ikan bakar tidak dimasak sempurna. Memang meloyakan.

Tidak mahu menanggung rugi, ada juga peniaga sanggup menjual semula makanan yang tidak habis pada keesokan hari walaupun sedar perbuatan itu salah.

Peniaga sepatutnya jujur dalam berniaga, malah ia juga dituntut dalam agama. Bukan semata-mata hendak mengaut keuntungan mudah yang akhirnya membawa kesan buruk kepada perniagaan serta orang ramai.

Oleh itu, penulis menyokong apabila pihak berkuasa seperti Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bertindak mengambil sampel makanan secara rawak di bazar Ramadan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan makanan.

Pengambilan sampel makanan penting bagi menjamin makanan yang dijual kepada pelanggan bebas daripada sebarang pencemaran yang boleh menyebabkan mudarat serta membahayakan kesihatan orang ramai.

Semoga tindakan tersebut bukan hanya memberi kesedaran kepada peniaga tidak beretika, malah mampu menyelamatkan kesihatan orang lain daripada mengalami keracunan.

* Rahayu Mustafa ialah wartawan Sinar Harian