Kisah jeti belian di sungai penuh buaya

in Pojok by

RIUH rendah netizen baru-baru ini pasal jeti kayu sepanjang 15 meter di sungai Kampung Mutap, Miri, Sarawak yang harganya mencecah RM50,000. Mereka anggap kos itu tidak masuk akal.

Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) Sarawak kemudian tampil menjelaskan belanja mahal tersebut adalah disebabkan masalah akses jalan selain mengambil kira langkah keselamatan kerana sungai di situ dipenuhi buaya.

Jeti tidak berbumbung itu terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar kecil Bekenu dan terpaksa menggunakan jalan ladang.

Menurut JKR Sarawak lagi, jeti itu menggunakan kayu belian berharga RM9,000 per meter padu. Belian tergolong dalam kumpulan pokok kayu keras paling berat di dunia sehingga ia diberi jolokan kayu besi Borneo. Kayu berkualiti pastilah mahal harganya.

Sebab itulah sesetengah orang berpendapat harga RM50,000 itu munasabah. Kata mereka, hanya tukang yang berani dan kadar upah yang tinggi sahaja sanggup kerja sini.

Mengikut tukang rumah yang Merak Jalanan kenal, biasanya penentuan kos membina rumah adalah bersasarkan harga bahan 30 peratus, upah pekerja (30%), keuntungan tukang (30%) dan kos-kos lain (10%).

Kalau formula ini diguna pakai secara kasar ke atas projek jeti di Miri tadi, maka kos bahan adalah sekitar RM15,000, upah pekerja RM15,000 dan keuntungan kontraktor serta kos lain RM20,000.

Ini bukanlah kali projek kerajaan dipersoal kerana kualiti binaan kelihatan tidak sepadan dengan harga. Tidak lama dulu kecoh pasal pondok menunggu bas berharga RM20,000 di Port Dickson, Negeri Sembilan yang kononnya cuma bernilai RM5,000.

Merak Jalanan harap pihak berkuasa tidak ambil mudah isu ini. Rakyat berhak tahu sama ada wang negara telah dibelanja dengan sewajarnya.