TNB, S P Setia meterai MoU solusi tenaga pintar

in Bisnes by

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan S P Setia Berhad (S P Setia) bagi menyediakan solusi tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (RE) dalam projek pembangunan kediaman dan bangunan komersil baharu.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, usahasama itu memberi tumpuan kepada bakal pembeli hartanah yang dibangunkan S P Setia Berhad.

Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) itu meliputi pemasangan sistem solar PV di atas bumbung serta penyediaan pemasangan solusi bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial S P Setia dan pemasangan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai di Hotel Le Meridien,

“Inisiatif ini selaras Hala Tuju Kelestarian TNB dan pelan hala tuju alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG) S P Setia menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TNB dan SP Setia Berhad di sini pada Selasa.

Turut hadir menyaksikan MoU berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood; Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Ahmad Zulqarnain Onn; Pengerusi S P Setia, Tan Sri Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail dan Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin turut hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai.

“Hasil kerjasama ini juga kita sudah tubuhkan satu anak syarikat Gsparx dengan fungsi utama untuk membantu pengguna-pengguna memasang solar di atas bumbung.

“Dengan ada kerjasama dengan S P Setia ini kita akan pastikan bumbung rumah yang baharu akan dilengkapi dengan solar panel,” katanya.

Megat berkata, pihaknya yakin pengguna di Malaysia mahu mendapatkan fasiliti ini dan ia membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon.

“Untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik kalau kita Lihat di luar negara 70 hingga 80 peratus pengecasan berlaku di rumah jadi kita mahu lengkapkan pengguna-pengguna kita dengan sistem elektrik yang boleh dipasang pengecas di rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad, Datuk Choong Kai Wai berkata, MoU itu merupakan pencapaian dalam kerjasama untuk menyediakan solusi tenaga mampan kepada bakal pemilik hartanahnya.

Menurutnya, S P Setia menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion tahun ini di mana syarikat bercadang menyediakan kemudian solusi tenaga pintar dalam projek pembangunan akan datang.

“Justeru kami berbesar hati menandatangani MoU ini dengan pembekal utiliti negara.

“Kami yakin ianya dapat memberi penjimatan ketara dalam penggunaan tenaga sebagai nilai tambah,” katanya.