Bank Rakyat lancar produk pembiayaan Sewa Beli Komersial-i

in Bisnes by

BANK Rakyat melancarkan produk pembiayaan baharu yang dikenali sebagai pembiayaan Sewa Beli Komersial-i bagi membantu memperkukuhkan sosioekonomi usahawan khususnya bagi mereka yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, pembiayaan yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM350 juta itu diperkenal bagi menyokong pertumbuhan industri kenderaan komersial untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, permohonan dibuka mulai hari pelancaran (Khamis) dengan syarat perniagaan yang dijalankan mestilah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun dan menjalankan aktiviti perniagaan patuh syariah.

“Pada hari ini Bank Rakyat telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan satu lagi produk pembiayaan baharu yang mana saya lihat ia merupakan satu langkah proaktif dalam membantu memperkukuhkan sosioekonomi golongan sasar.

“Produk pembiayaan ini diperkenalkan khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi serta institusi-institusi lain bagi memulihkan dan merancakkan kembali aktiviti dengan mendapatkan pembiayaan bagi pembelian kenderaan, jentera dan peralatan baharu.

“Pengenalan produk pembiayaan ini merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan kerana ia amat bertepatan dengan komitmen KUSKOP dalam membantu golongan usahawan meliputi pelbagai sektor dan industri termasuk kenderaan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pembiayaan Sewa Beli Komersial-i Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noh berkata, peniaga berskala kecil dan besar yang terjejas akibat penularan Covid-19 sememangnya sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan dan ia dibuktikan dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan kementeriannya.

“Sehubungan itu, pengusaha perniagaan dan koperasi yang mana memerlukan kenderaan baharu bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka digalak untuk untuk memohon pembiayaan ini yang menawarkan margin pembiayaan serta kadar keuntungan yang kompetitif dan menarik.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, terdapat empat cara untuk memohon pembiayaan tersebut.

Antaranya mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan; menghubungi pusat panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454; mengunjungi Pusat Perniagaan PKS dan Koperasi (MSEC) atau layari laman web rasmi Bank Rakyat.

“Usahawan yang layak sama ada untuk tujuan penggunaan persendirian atau perniagaan boleh mendapatkan pembiayaan menerusi empat ciri disediakan.

“Pertama, margin pembiayaan sehingga 90 peratus bagi kenderaan di bawah Akta Barangan seperti motokar, van dan lori kecil dengan tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun.

“Kedua, margin pembiayaan sehingga 90 peratus bagi kenderaan di bawah Akta Bukan Barangan untuk kenderaan berat seperti bas, lori dan jentera dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun,” katanya.

Ciri keempat pula katanya, margin pembiayaan sehingga 75 peratus bagi peralatan perindustrian yang baharu dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun dan pembiayaan sehingga 90 peratus bagi Unit Pra-Pendaftaran di bawah Akta Barangan.