RUU Anti Lompat Parti: SPRM perlu ‘bergigi’

in Analisis Sinar by

SEORANG rakan berpandangan wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pelaksanaan rang undang-undang (RUU) baharu bagi menghalang rakan-rakan sejawatan mereka melompat parti.

Katanya, jika ada kesalahan daripada perbuatan tersebut, sepatutnya orang pertama yang bangun bertindak adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM akan menyiasat wakil rakyat terbabit dan bertanya sama ada mereka diberi habuan tertentu untuk berbuat perkara demikian – menukar sokongan dari partinya kepada parti lain.

Dan jika didapati bersalah, undang-undang sedia ada sudah mencukupi di mana hukuman bagi kesalahan rasuah ialah penjara bagi tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hukuman ini sahaja jika tersabit ke atas wakil rakyat tersebut akan menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang – satu prospek yang pastinya menakutkan mana-mana politikus.

Tahun lalu, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail mendakwa didekati beberapa individu bagi mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat laporan kepada SPRM dan media melaporkan SPRM sudah membuka kertas siasatan sebelum mengenal pasti dan memanggil beberapa saksi.

Tidak diketahui perkembangan kes berkenaan sehingga kini, namun setakat ini tiada sebarang laporan media akan mana-mana pihak diberkas atau didakwa di mahkamah berhubung kes ini.

Natrah dalam wawancara dengan Sinar Harian tahun lalu berkata, ahli-ahli parlimen yang melompat parti itu kecundang dengan lambaian kedudukan, pangkat dan wang.

Walaupun Natrah berkata sebegitu, namun sehingga kita mengetahui sebab ahli-ahli politik ini melompat parti, kita tidak dapat membuat sebarang kesimpulan kerana ia hanya mampu dirungkai SPRM.

Ini kerana kita juga ingin tahu sebab sebenar empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menukar sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) tahun lalu sehingga menyebabkan DUN Melaka dibubar mendorong pelaksanaan Pilihan Raya Negeri.

Jika wujud unsur rasuah, mereka perlu didakwa. Namun, jika tidak ada, hal yang demikian merupakan hak dan kebebasan mereka yang terpelihara dalam perlembagaan sehinggalah RUU lompat parti diluluskan nanti, jika berjaya.

Namun menambah satu lagi RUU menunjukkan seolah-olah negara ini kekurangan undang-undang dalam mengawal rakyatnya.

Malah menambah RUU Anti Lompat Parti sebenarnya secara lebih jelas menampakkan kesukaran negara ini dalam mengawal para wakil rakyatnya!

Apa yang menjadikan situasi ini lebih ironis adalah: bagi membolehkan RUU ini lulus, ia perlu disokong ahli-ahli parlimen yang sebahagiannya merupakan pelompat parti sendiri.

Jika tidak melompat pun, sebahagian mereka barangkali merupakan enabler yang menyokong atau mendapat manfaat dari tindakan lompat tersebut.

Oleh itu, mengharapkan ahli politik untuk membetulkan ahli politik samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan.

Dalam kes ini sebenarnya kita sudahpun mempunyai orang ketiga apabila negara memisahkan ahli politik yang berada dalam kelompok legislatif dengan eksekutif yang punya kuasa untuk melaksanakan undang-undang kepada semua termasuk kepada ahli politik.

* Haizir Othman ialah Ketua Bahagian Web PRU Sinar