Biar manusia beraya, jangan Covid-19 yang beraya: Masidi

in Koronavirus by

KOTA KINABALU – Masyarakat di negeri ini diingatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika menyambut perayaan Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sudah tentu setiap kali ada perayaan ia disambut dengan penuh keterujaan oleh semua peringkat lapisan masyarakat.

“Kadang-kadang kita lalai dalam mematuhi SOP, tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya jadi saya berharap sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Ini bagi memastikan sambutan itu tidak mengakibatkan jangkitan yang baharu disebabkan kegagalan atau kelalaian dalam mematuhi SOP,” katanya ketika diminta mengulas keadaan jangkitan Covid-19 yang biasanya akan meningkat pada musim perayaan.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Menara Desa di kawasan Bataras Kolombong Centre Court, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga jurucakap Covid-19 Sabah turut memuji sikap rakyat Sabah yang patuh pada SOP ketika ini.

“Dulu kita ada hampir 6,000 kes tetapi hari ini (Khamis) 122 kes, dua hari lalu 65 kes dan ini saya harus puji orang Sabah kerana sikap yang berdisiplin mematuhi SOP.

“Jadi saya katakan sempena Hari Raya ini terus disiplinkan diri dalam mematuhi SOP. Raya, raya juga tetapi pastikan virus Covid-19 tidak beraya. Biar manusia yang beraya, jangan Covid-19 yang beraya,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai program vaksinasi, Masidi berkata, walaupun dos penggalak tidak diwajibkan kerana menghormati bagi mereka yang enggan mendapatkannya namun diharap mereka melihat kepada keberkesanannya dalam mengurangkan kesan jangkitan.

“Statistik kita kebelakangan ini sukar untuk kita menyangkal keberkesanan vaksinasi dan juga dos penggalak. Jadi saya merayu, soalnya bukan lagi kerajaan yang mahu atau kena paksa tetapi saya merayu lihat kepada hasil daripada mereka yang ambil vaksinasi.

“Hari ini 122 kes baharu, 116 adalah mereka dalam kategori satu dan dua kerana mereka divaksinasi penuh. Maknanya walaupun masih terjangkit tetapi kesannya tidak serius,” katanya.