Mangsa banjir bagai menanti buah yang tak gugur

in Pojok by

BANJIR besar yang melanda Selangor pada Disember lalu masih memberi kesan kepada mangsa terlibat. Walaupun sudah empat bulan berlalu, ramai mangsa banjir masih sibuk membaiki rumah atau kenderaan masing-masing.

Tidak kurang juga yang berusaha melengkapkan semula perabot-perabot rumah yang musnah, lebih-lebih lagi hari raya tidak lama lagi. Ternyata bencana tersebut memberi kesan jangka panjang kepada mereka.

Merak Jalanan memuji keprihatinan kerajaan apabila cepat mengumumkan pelbagai bantuan untuk isi rumah yang terkesan dengan banjir.

Antaranya wang tunai sebanyak RM1,000, bantuan barangan keperluan (RM2,500), baucar barangan elektrik (RM500) dan pembaikan kenderaan (RM1,000 bagi satu kenderaan).

Kerajaan Selangor juga memberi bantuan wang tunai RM1,000 kepada mangsa terlibat.

Cuma yang tak sedapnya, Merak Jalanan dengar ramai mangsa banjir tertanya-tanya status bantuan barangan keperluan RM2,500 yang dijanjikan tidak masuk-masuk dalam akaun bank mereka. Begitu juga permohonan bantuan membaiki kenderaan senyap begitu sahaja. Apa sudah jadi?

Malah, tinjauan di laman sosial juga mendapati ada yang langsung belum menerima bantuan dijanjikan walaupun sudah menghantar borang permohonan. Ada yang cuba menghubungi jabatan yang menguruskan bantuan tersebut, malangnya panggilan mereka tidak berjawab.

Isu ini hangat diperbincangkan dalam kalangan mangsa banjir ketika ini sampai ada yang menuduh kerajaan menipu mereka. Malah, ada mangsa yang mengutus surat terus kepada Perdana Menteri bertanyakan hal kelewatan tersebut.

Bagi Merak Jalanan, isu kelewatan ini perlu dipandang serius oleh kerajaan. Biasanya apabila kerajaan sudah menjanjikan sebarang bentuk bantuan, ia akan ditunaikan segera.

Merak Jalanan rasa kerajaan perlu melihat semula jabatan yang menguruskan bantuan itu. Mungkin ada masalah lain yang kerajaan tidak tahu.