World #QuranHour angkat tema ‘Dunia Bersujud’ 26 April ini

in WacanaQuran by

SHAH ALAM – World #QuranHour dengan kerjasama rakan Sinergi Media Malaysia kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’ pada 26 April ini.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, penganjuran kali ini diyakini mampu tampil lebih hebat sekali gus memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

“Misi kita semua adalah jelas iaitu untuk ‘mengqurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah’ kerana kita nak tukar ekosistem supaya operasi sistem ummah ini mesti berasaskan kepada al-Quran.

“Jadi, untuk tujuan itu, gerakan ini perlu usaha yang bersepadu dan saya mengharapkan agar penganjuran kali ketujuh ini bakal jadi yang terbaik berbanding sebelum ini,” katanya dalam Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena World #QuranHour secara dalam talian pada Jumaat.

Sesi taklimat tersebut disertai oleh wakil media yang juga rakan sinergi seperti TV Alhijrah selaku hos penyiar, Astro, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Nu Ideaktiv, Zayan FM, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima, Harakah Daily dan Denaihati.com.

World #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Program tersebut yang mengangkat surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Studio TV Alhijrah.

Dalam pada itu, Hussamuddin menjelaskan program tersebut yang bermula sejak 2015 telah berjaya menghasilkan gelombang baharu sekali gus mendekatkan masyarakat kepada al-Quran.

“Saya nak merakamkan kesyukuran kerana selepas tahun kelima penganjuran, kita sudah menghasilkan satu gelombang baharu dalam kalangan masyarakat.

“Semasa Covid-19 melanda juga, kita sudah ada program My #QuranTime yang mendapat sambutan luar biasa yang mana setiap hari kita ‘memaksa’ orang Islam duduk depan televisyen atau telefon bimbit mereka untuk dengar bacaan al-Quran, belajar tajwid, dan bertadabbur,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan program World #QuranHour terus menjadi medium untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.

“Banyak negara Islam hancur kerana manusia rakus dan tamak selain tidak berpegang kepada nilai murni termasuk terima rasuah dan sebagainya.

“Tengok apa jadi kepada Pakistan apabila rakyat mereka bangkit kerana marah dengan ahli politik mereka jual kerusi sehingga bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang sedang bawa perubahan besar kepada negara tersebut dijatuhkan.

“Kita kena pastikan negara kita tidak berlaku walaupun bibit itu telah ada dan kita perlu hentikan dengan cara membawa masyarakat kembali kepada al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah Al-Sajdah dipilih dengan misi untuk ‘reset’ kembali kehidupan terutama dalam mengharungi cabaran hidup pada masa akan datang.

“Kita nak membawa ke arah impak iaitu negara dan dunia berbudi dan penyayang. Selain itu, kita lihat ada tiga isu besar iaitu cabaran dalam pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

“Untuk tahun ini, kita nak bawa kepada penyelesaian ekonomi ummah. Jadi kita nak fokus kepada hutang iaitu dari segi hutang fizikal, hutang kepada kerjaya, hutang kepada keluarga dan hutang sosial,” katanya.

Menurutnya, pengisian untuk menjelaskan mengenai ekonomi ummah dalam surah Al-Sajdah tersebut akan difokuskan kepada tiga ayat utama pada World #QuranHour kali ini.

“Kita ambil ayat kelima iaitu Al-Amru iaitu bagaimana ALLAH mentadbir segala urusan dan keperluan makhluknya. Ayat seterusnya ialah berkaitan sujud iaitu ayat ke-15 dan ke-16 dengan menekankan tugas sebagai seorang hamba itu hanyalah bersujud dan berinfak.

“Selain itu, ayat ke-24 iaitu ‘Yahduna Bi Amrina’ menekankan seruan kepada setiap pemimpin, diri, keluarga dan institusi untuk mendidik ahlinya dengan sabar dan mengembalikan segala urusan kepada ALLAH,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif TV Alhijrah, Mohd Ashrudy Borhan berkata, stesen televisyen tersebut akan menjanjikan kelainan dalam penyiaran World #QuranHour kali ini.

“Pada tahun ini, program dilaksanakan di studio Alhijrah berbanding sebelum ini diadakan di luar studio seperti di masjid. Jadi, ia satu cabaran terutama menempatkan pentadabbur, qari dan tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Untuk program ini kita tetapkan satu jam dan meletakkan dua pengacara dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris agar ia lebih bersifat antarabangsa dan boleh ditonton di seluruh dunia.

“Dari segi persembahan, kelainan yang akan kami bawa adalah pentadabbur utama bukan hanya duduk sebaliknya akan bertadabbur dengan cara penceritaan.

“Beliau boleh bergerak kerana kita menggunakan paparan LED di belakang dengan memainkan paparan visual yang berkaitan dengan pengisian tadabbur.

“Selain itu, bacaan qari juga diletakkan kesan bunyian seperti bergema supaya ia memberikan ‘mood’ kepada penonton,” katanya.