Kegiatan seludup mercun, bunga api semakin parah

in Analisis Semasa by

SHAH ALAM – Kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api dilihat berterusan dan semakin parah di negara ini.

Pada Ahad, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengenal pasti sebanyak 13 jenis mercun popular diseludup masuk ke dalam negara ketika musim perayaan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, ia melibatkan empat jenis bagi kategori bunga api dan sembilan jenis bagi kategori mercun.

Beliau mendedahkan pelbagai modus operandi kegiatan penyeludupan itu dilakukan antarnya membuat pengikraran palsu di mana mercun dan bunga api diikrar sebagai dagangan lain untuk mengelak daripada dikesan dan diperiksa.

Ujarnya, kebanyakkan adalah melalui kontena yang diikrar di pelabuhan utama negara.

Punca kepada kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api ini sudah tentu disebabkan kerana mendapat permintaan tinggi sempena Hari Raya Aidilfitri.

Selain daripada itu, kaedah menggunakan platform dalam talian bagi menjalankan aktiviti penjualan mercun dan bunga api turut mendorong kepada peningkatan permintaan barangan tersebut.

Bagaimanapun, platform e-dagang terkemuka, Shopee tidak akan bertoleransi terhadap penjualan barangan terlarang atau berbahaya di platformnya.

Jurucakap Shopee pada Ahad menjelaskan, sebagai mematuhi peraturan tempatan dan dasarnya yang ketat, pihaknya telah mengambil langkah serta-merta untuk membuang penyenaraian yang berkaitan dengan mercun di platform tersebut.

Selain daripada platform e-dagang, kawalan dari segi penguatkuasaan di pintu masuk perlu dipertingkatkan bagi memastikan segala laluan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan dikawal dengan rapi.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM supaya meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, aspek penguatkuasaan yang tidak menyeluruh menyebabkan orang ramai menganggap penjualan mercun dan bunga api adalah kegiatan yang tidak salah dari segi undang-undang.

Justeru itu, kerajaan dan pihak berwajib perlu mengambil perhatian mengenai isu berkenaan memandangkan seorang remaja lelaki telah menjadi mangsa mercun pertama pada Ramadan tahun ini apabila jari tangan kanannya hancur akibat mercun bola yang meletup sebelum sempat dibaling di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang pada Khamis lalu.

Pendekatan sewajarnya perlu diambil oleh semua pihak berkaitan termasuk masyarakat bagi memastikan tidak ada lagi yang menjadi mangsa mercun seterusnya pada Ramadan kali ini.